KEADAAN banjir di Kampung Masjid Gali, semalam. FOTO ihsan Polis
KEADAAN banjir di Kampung Masjid Gali, semalam. FOTO ihsan Polis

KUANTAN: Banjir di daerah Raub semakin pulih dengan sebuah pusat pemindahan ditutup pagi ini manakala tiga lagi masih beroperasi dan menempatkan 101 orang berbanding 122 orang di empat pusat pemindahan yang direkodkan malam tadi.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia negeri Pahang, Zainal Yusoff berkata, kesemua 31 keluarga itu melibatkan penduduk dari enam kampung iaitu Kampung Padang Manggis, Masjid Gali, Gali Hilir, Kuala Temau, Ajai dan Kuala Gali.

"Tiga pusat pemindahan banjir yang masih dibuka itu ialah Dewan Serbaguna Kampung Pia yang menempatkan 50 orang daripada 14 keluarga, Kompleks Mini Sukan Kampung Kuala Gali (30 orang daripada sembilan keluarga) dan Masjid Kuala Temau (21 orang daripada lapan keluarga)," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Gali Tengah yang dibuka 9.50 pagi semalam dengan menempatkan 56 orang ditutup pada 9 pagi ini. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2015 @ 10:26 AM