ANTARA kawasan di Raub yang dilanda banjir semalam. FOTO ihsan Bomba
ANTARA kawasan di Raub yang dilanda banjir semalam. FOTO ihsan Bomba

KUANTAN: Belum sampai 24 jam tiga pusat pemindahan ditutup, daerah Raub kembali membuka tiga lagi pusat pemindahan banjir baru bagi menempatkan 81 orang daripada 14 keluarga.

Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Pahang, Zainal Yusoff berkata, pusat pemindahan terakhir di Dewan Serbaguna Kampung Pia ditutup pada 11.50 pagi semalam, bagaimanapun pusat pemindahan baru di Dewan Datuk Adnan Felda Tersang 1 dibuka pada 7.30 malam tadi.

"Pusat pemindahan baru itu telah menempatkan 37 mangsa daripada lima keluarga manakala dua lagi pusat yang dibuka ialah Bangunan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Tersang pada 8.30 malam menempatkan 25 orang daripada enam keluarga.

"Yang terharu ialah Balai Raya Kampung Tersang yang mula dibuka 1 pagi tadi dan menempatkan 19 orang daripada tiga keluarga," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zainal berkata, kesemua mangsa terbabit melibatkan penduduk dari tiga kampung iaitu Felda Tersang Satu, Felda Tersang Dua dan Kampung Tersang, manakala bagi daerah lain, tiada pemindahan mangsa banjir direkodkan.

Semalam, tiga pusat pemindahan yang menempatkan 101 mangsa ditutup secara berperingkat yang melibatkan penduduk dari enam kampung iaitu Kampung Padang Manggis, Masjid Gali, Gali Hilir, Kuala Temau, Ajai dan Kuala Gali. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2015 @ 11:12 AM