Anggota APM membantu penduduk berpindah. FOTO ihsan APM.
Anggota APM membantu penduduk berpindah. FOTO ihsan APM.
Sharinnahar Latib


RAUB kembali dilanda banjir sejak malam tadi menyebabkan 235 mangsa membabitkan 62 keluarga dipindahkan ke tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, sehingga 6 pagi hari ini, jumlah mangsa banjir teramai ditempatkan di PPS Dewan Kampung Pia membabitkan 92 orang manakala 46 individu dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Chenua.

Katanya, di PPS balai raya Kampung Sungai Ulu dan balai raya Sega Lama pula, masing-masing menempatkan 30 orang.

“Seramai 23 individu ditempatkan di Masjid Jamek Kuala Semantan, 11 di balai raya Kampung Temau dan tiga lagi di balai raya Ulu Renggol.

“PPS berkenaan diaktifkan secara berperingkat mulai 9.25 malam sehingga 12 tengah malam tadi.

“APM mendapat kerjasama pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk memastikan kelancaran operasi pemindahan,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya memantau paras air sungai sebagai langkah berjaga-jaga bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya ada penempatan dinaiki air.

Katanya, pemantauan paras air Sungai Lipis menerusi bacaan di Stesen Batu Malim menunjukkannya melepasi tahap bahaya iaitu 115.25 meter yang mendedahkan kawasan rendah dilimpahi air sungai.

“Paras air Sungai Dong dan Sungai Gali pula berada di tahap amaran iaitu 118.48 meter serta 122.32 meter. Ia turut berisiko kepada kawasan rendah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 11:22 AM