ANGGOTA bomba memantau mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Raub. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memantau mangsa banjir yang ditempatkan di PPS di Raub. FOTO ihsan bomba
Roselan Ab Malek


Raub: Jumlah penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Raub meningkat kepada 99 mangsa, hari ini.

Ketua Zon 3 Pahang, ShahrulnizamNasir berkata, semua mangsa ditempatkan di tujuh PPS dan dibantu petugas daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Proses pemindahan membabitkan 26 keluarga itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Raub dan polis.

"Antara PPS beroperasi ketika ini ialah Balairaya Kampung Ria menempatkan tujuh keluarga (25 mangsa); Masjid Kampung Kuala Semantan menempatkan empat keluarga (13 mangsa); Balairaya Kampung Ulu Jelu menempatkan tiga keluarga (17 mangsa)," katanya.

Beliau berkata, selain itu, dua keluarga membabitkan 10 mangsa ditempatkan di Balairaya Kampung Durian Sebatang; tiga keluarga (16 mangsa) di Balairaya Kampung Bukit Pampong; tiga keluarga (6 mangsa) di Masjid Kuala Temau dan empat keluarga (12 mangsa) di Dewan Serbaguna Kampung Pia.

Sementara itu, paras air Sungai Lipis, Sungai Dong dan Sungai Gali berada pada paras amaran dan pada trend menaik.

"Sungai Lipis di Batu Malim berada di paras amaran iaitu 114.40 meter berbanding sebelum ini berada di paras 114.33m.

Sungai Dong di Pasir Bayam turut berada di paras amaran iaitu 117.57m berbanding sebelum ini 117.54m manakala Sungai Gali di Ulu Gali turut berada di paras amaran iaitu 122.38m berbanding 122.29m, semalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 5:59 PM