Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Raub memindahkan mangsa banjir di Kampung  Gali Tengah. - foto Ihsan Bomba
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Raub memindahkan mangsa banjir di Kampung Gali Tengah. - foto Ihsan Bomba
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah


Raub: Seramai 98 orang daripada 28 keluarga di tiga kampung di Dong di sini, terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara akibat banjir kilat melanda kawasan itu pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa dari Kampung Tok Machang, Kampung Gali Tengah dan Kampung Temau dipindahkan secara berperingkat mulai jam 9 pagi.

"Semua mangsa ditempatkan di Dewan Serba Guna Kampung Gali Tengah, Masjid Kuala Temau dan Balai Raya Kampung Tok Machang," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejadian berpunca daripada limpahan air Sungai Ruan selepas hujan lebat berterusan selama kira-kira sejam pada tengah malam sebelumnya.

"Ketika ini, keadaan paras air mulai surut tetapi pasukan keselamatan sentiasa waspada sekiranya berlaku hujan lebat pada sebelah malam dan bencana itu berulang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2015 @ 8:34 PM