AHMAD Shabery bersama Pengerusi FAMA Tan Sri Badruddin Amiruldin (kiri) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz (tengah) melawat karavan sempena Pelancaran Karnival Jualan Karavan Tani.
AHMAD Shabery bersama Pengerusi FAMA Tan Sri Badruddin Amiruldin (kiri) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz (tengah) melawat karavan sempena Pelancaran Karnival Jualan Karavan Tani.
AHMAD Shabery memasak daging burger.
AHMAD Shabery memasak daging burger.
AHMAD Shabery melakukan lawatan ke ladang ternakan lembu Akademi Usahawan MJ Fatonah di Kuala Selangor.
AHMAD Shabery melakukan lawatan ke ladang ternakan lembu Akademi Usahawan MJ Fatonah di Kuala Selangor.
AHMAD Shabery bersama Pengarah Urusan Ramly Food Industries Datuk Ramly Mokni (kanan) memilih produk Ramly.
AHMAD Shabery bersama Pengarah Urusan Ramly Food Industries Datuk Ramly Mokni (kanan) memilih produk Ramly.
Oleh Mohamad Hussin

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) terus komited dalam membantu golongan petani, penternak dan nelayan dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka sekali gus menjana ekonomi negara.

Pelbagai perancangan diatur MOA dalam usaha menambah baik kementerian dan golongan sasaran yang menjadi tunjang kepada pembangunan negara.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggariskan beberapa perkara supaya MOA sentiasa relevan mengikut peredaran masa.

“Secara umumnya dasar kerajaan sudah ada, cuma kita kena tambah baik dan fikir perkara yang perlu ditangani pada masa akan datang.

“Walaupun saya baru mengambil alih kementerian, tidak semestinya kena tukar dasar baru kerana apa yang penting kita kena tengok apa dasar sedia ada yang perlu ditambah baik,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Agro sempena 100 hari beliau mentadbir MOA di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ahmad Shabery berkata, Dasar Jaminan Bekalan Makanan (DJBM) yang diperkenalkan sejak 2008 akan diteruskan bagi memastikan bekalan makanan dalam negara sentiasa mencukupi dan ditawarkan pada harga berpatutan kepada rakyat.

“Apa yang saya perhatikan ada dua tiga perkara iaitu dari segi dasar. Kalau dulu kita fokus pada keselamatan makanan dalam dasar agromakanan negara, sekarang kita kena satu langkah ke depan.

“Ini kerana ada sesetengah negara fokus terhadap makanan dan barangan bersih termasuk peralatan yang digunakan perlu spesifik supaya makanan yang kita hasilkan lebih selamat.

“Ini soal keselamatan kerana negara yang baik adalah negara yang melindungi rakyat, bukan sahaja cukup makan, tapi makanan juga perlu selamat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan mengambil langkah segera dan komited berdasarkan keadaan ekonomi semasa termasuk kejatuhan nilai ringgit.

Katanya, dalam keadaan semasa yang menyaksikan kejatuhan nilai mata wang negara berbanding dolar Amerika Syarikat, kos makanan dan bahan keperluan lain meningkat.

“Namun, ia tidak bermakna kerajaan perlu mengurangkan pertimbangan untuk memastikan bekalan makanan mencukupi dan ini termasuk bekalan makanan yang diimport.

“Bagi memastikan kejayaan pelaksanaan DJBM, kementerian melalui agensi di bawahnya meningkatkan pengeluaran dan produktiviti sektor agromakanan serta memastikan bekalan bahan makanan mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan,” katanya.

Beliau mahu langkah seterusnya diambil bagi memastikan makanan berkualiti kepada rakyat di negara ini lebih terjamin.

Selain itu, beliau berharap dapat mengetengahkan beberapa usahawan berjaya supaya menjadi contoh kepada usahawan lain.

“Misalnya kita dedahkan kejayaan usahawan yang kita hasilkan kerana setiap kejayaan pasti ada pengikutnya. Sebagai contoh pemilik Ramly Burger yang boleh keluarkan satu juta produk sehari.

“Dia dah ada kilang sendiri dan sekarang sudah buka restoran. Kumpulan Ramly juga sudah mewujudkan kira-kira 25,000 gerai burger Ramly di seluruh negara yang dapat membantu usahawan menjana pendapatan tambahan sehing­ga RM5,000 sebulan.

“Produk Ramly sudah dieksport ke enam negara iaitu Thailand, Myanmar, Singapura, Kemboja, Bangladesh dan Indonesia,” katanya.

Menurutnya, usahawan seperti MJ Fathonah Sdn Bhd, syarikat Bumiputera yang mewujudkan Akademi Usahawan bagi melahirkan usahawan ternakan di bawah bimbingan pengasas syarikat itu sendiri perlu dijadikan contoh.

“Personaliti yang kita dedahkan ini dapat menonjolkan kejayaan kepada usahawan baru. Contohnya, Hari Peladang, Penternak dan Nelayan di peringkat negeri dan kebangsaan banyak menghimpunkan usahawan yang berjaya,” katanya.

Ditanya mengenai pembabitan orang tengah, Ahmad Shabery melihatnya dari sudut positif dan negatif.

“Ada orang tengah yang tak betul, tidak baik dan menindas pengeluar. Namun, ada kalanya orang tengah memainkan peranan menyambung antara pengeluar dengan pasaran lebih besar.

“Bagaimanapun, kita banyak program yang dapat mengurangkan orang tengah seperti pasar tani dan karavan yang menjual produk secara terus kepada orang ramai,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, isu orang tengah yang berurusan dengan pengeluar padi perlu dilihat semula kerana peranan mereka seolah-olah menindas petani.

Ahmad Shabery juga berkata, kementerian merangka tujuh program utama yang akan dilaksanakan secara berterusan oleh semua jabatan dan agensinya.

Menurutnya, antara projek yang diberikan perhatian ialah usaha meningkatkan pengeluaran beras, mewujudan stok penimbal beras, program peningkatan pe­ngeluaran dan produktiviti tanaman, perikanan dan ternakan.

“Selain itu, kita juga akan meneruskan polisi pemberian insentif kepada pengusaha pertanian selain memperkukuhkan peranan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memastikan usaha pemasaran serta pengagihan hasil pertanian dilakukan lebih tersusun,” katanya.

Beliau turut bercadang mewujudkan lebih ba­nyak blog atau portal pertanian bagi memaparkan kejayaan usahawan.

“Kita kena memba­ngunkan blog pertanian supaya dapat memantapkan lagi industri pertanian negara seperti negara lain yang mempunyai banyak blog mengenai pertanian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 4:50 AM