DR Ismail (kanan) menerima penyerahan projek daripada Dr Roslan sambil diperhatikan Ahmad Shabery (tengah).
DR Ismail (kanan) menerima penyerahan projek daripada Dr Roslan sambil diperhatikan Ahmad Shabery (tengah).
Mohamad Hussin

Projek Empangan Paya Peda yang dibina bertujuan meningkatkan keupayaan dan kecekapan bekalan air kepada Skim Pengairan Padi di Besut, Terengganu.

Ia berfungsi sebagai takungan air yang terbesar di daerah Besut bagi kegunaan tanaman padi.

Selain itu, empangan ini dapat membantu membekal sumber bekalan air mentah untuk domestik dan mengawal banjir terutama musim tengkujuh.

Empangan yang terletak 17 kilometer (km) dari bandar Jertih mula dibina pada Jun 2010 dan siap sepenuhnya pada Disember 2015.

Kawasan takungan empangan membabitkan keluasan 1,200 hektar boleh menakung dan menyimpan 220 juta meter padu bagi membekalkan air ke kawasan penanaman padi seluas 9,000 hektar untuk menjayakan penanamannya dua kali setahun.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, projek yang siap sepenuhnya itu memberi manfaat besar kepada pesawah serta keseluruhan penduduk di daerah Besut.

Beliau berkata, empangan yang dibangunkan dengan kos keseluruhan RM424 juta mempunyai ciri-ciri lengkap untuk operasi yang baik dan mengutamakan keselamatan.

“Ia bukan saja untuk takungan air yang terbesar di daerah ini bagi kegunaan tanaman padi, tetapi juga dapat membantu membekal sumber bekalan air mentah untuk domestik, tarikan agropelancongan serta mengawal banjir terutama pada musim tengkujuh.

“Empangan ini mempunyai beberapa komponen struktur seperti empangan utama, empangan pelana, alur limpah, alur limpah kecemasan, struktur alir keluar, Sistem Teknologi Perolehan dan Kawalan Penyeliaan (SCADA), pusat informasi, kuarters serta jalan masuk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan Projek Fizikal Pembangunan Pertanian agensi pelaksana iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Bahagian Pengairan dan Saliran Pertanian (BPSP) di Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) diwakili Ketua Setiausahanya Datuk Seri Dr Ismail Bakar sementara JKR diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ir Dr Roslan Md Taha dan Ir Mat Hussin Ghani mewakili BPSP.

Ahmad Shabery berkata, sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab terhadap industri agromakanan negara, MOA terus menjalankan projek pertanian berimpak tinggi.

“MOA antara penyumbang terpenting dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan makanan negara terjamin,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama, MOA turut menerima penyerahan Projek Pembangunan Kolej Perikanan Malaysia, Lumut, Perak dan Projek Makmal Biosekuriti Perikanan Tunjang, Kedah.

Beliau berkata, ketiga-tiga projek ini antara sebahagian daripada 285 projek fizikal baru dan sambungan yang dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

“Ia membabitkan kos semasa berjumlah RM8.92 bilion meliputi sektor tanaman, ternakan dan perikanan.

“Kementerian akan terus bekerjasama dengan agensi pelaksana bagi memastikan projek yang dilaksanakan dapat disiapkan pada tempoh yang ditetapkan untuk manfaat pengguna dan kumpulan sasar MOA,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 11:35 AM