KHAIRY berucap sambil diperhatikan Ahmad Shabery.
KHAIRY berucap sambil diperhatikan Ahmad Shabery.
Mohamad Hussin dan Mohd Nasif Badruddin

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menganjurkan Program Chillax Agropreneur Muda TN50 (Transformasi Nasional 2050) - Sembang Agro di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Pelbagai pandangan dan idea ‘dilemparkan’ generasi muda dalam program berkenaan bagi memberi peluang kepada mereka memperkasakan industri makanan negara.

Rata-rata generasi muda memberikan idea dan cadangan yang mahu kerajaan khususnya MOA mengambil kira pendapat mereka bagi memastikan bekalan negara terjamin.

Antaranya cadangan seperti memberi gelaran ikhtisas kepada petani, peladang, penternak dan nelayan.

Cadangan itu dikemukakan seorang peserta program berkenaan memandangkan ia dapat mengubah minda dan persepsi masyarakat.

Selain itu, ada cadangan mahu kerajaan mewujudkan subjek pertanian yang wajib diikuti di sekolah bagi memberi pendedahan awal kepada murid dan pelajar.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya akan mengkaji dengan teliti gelaran ikhtisas itu seperti Fmr untuk petani supaya diiktiraf sama dengan kerjaya profesional lain seperti Ir untuk jurutera dan Dr untuk doktor.

“Kita mungkin boleh bawa cadangan ini ke peringkat lebih tinggi untuk dibincangkan.

“Dengan langkah ini, ia dapat memartabatkan profesionalisme golongan berkenaan sekali gus mengubah mentaliti serta persepsi masyarakat mengenai mereka yang dikaitkan dengan kerjaya kotor,” katanya.

Dialog berkenaan dikendalikan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin sebagai moderator.

Hadir sama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 10:52 AM