MOHAMAD (tiga dari kanan) bersama Ahmad Shabery (dua dari kanan) pada Program My Kampung My Future di Dataran Kundur.
MOHAMAD (tiga dari kanan) bersama Ahmad Shabery (dua dari kanan) pada Program My Kampung My Future di Dataran Kundur.

Rembau: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan memperluaskan program My Kampung My Future (MKMF) di lima kampung lain selepas kejayaan dicapai 12 kampung yang melaksanakan program itu sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, seramai 1,784 usahawan terbabit program itu dan meraih pendapatan RM12 juta bagi tempoh Januari tahun lalu hingga semalam.

Katanya, semua usahawan berusia 18 hingga 40 tahun melaksanakan pelbagai kegiatan ekonomi berasaskan pertanian dan bukan pertanian.

“Kejayaan membuktikan MKMF mampu memberi rangsangan tinggi kepada penduduk sekali gus meningkatkan pendapatan.

“Program dimulakan pada 2012 dan menampakkan kemajuan yang baik. Kita bercadang memperluaskan di lima kampung di Selangor, Pulau Pinang, Perlis, Melaka, dan Kelantan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran MKMF di Kampung Kundur Hulu, di sini, semalam.

Majlis dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Ahmad Shabery berkata, cadangan pelaksanaan MKMF di lima kampung membabitkan sektor pertanian, kraf dan pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 7:39 AM