DR Ismail (tengah) dan Dr Aini (kiri) mendengar penerangan mengenai tanaman sayuran menggunakan dekoponix.
DR Ismail (tengah) dan Dr Aini (kiri) mendengar penerangan mengenai tanaman sayuran menggunakan dekoponix.
Mohamad Hussin

Pelbagai usaha dan strategi baru yang menjurus kepada Dasar Agromakanan Negara (DAN) sedang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) untuk memberi tumpuan kepada bekalan makanan negara yang mencukupi dan selamat dimakan.

Dasar itu bertujuan meningkatkan pendapatan golongan petani dan usahawan tani selaras dengan rancangan kerajaan untuk menjadikan negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016-2020, MOA bersama semua agensi dan jabatan sentiasa berusaha memperkasakan sektor pertanian selaras dengan langkah kerajaan untuk meningkatkan pendapatan masyarakat dan ekonomi negara.

Ketua Setiausaha MOA, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, kerajaan amat menitikberatkan isu jaminan sekuriti bekalan makanan negara supaya kecukupan makanan terjamin untuk rakyat pada masa hadapan.

Beliau berkata, sektor pertanian perlu mengalami transformasi untuk menjadikan sektor ini lebih moden, dinamik dan berdaya saing melalui empat faktor penggerak utama bagi menentukan kejayaannya.

“Antara empat faktor itu ialah penggunaan teknologi dan inovasi, perluasan aplikasi teknologi maklumat (ICT), pembangunan modal insan berkualiti tinggi dan peningkatan keberkesanan institusi sokongan.

“Sehubungan itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) perlu membantu MOA dalam pelbagai aspek pembangunan sektor pertanian negara,” katanya ketika merasmikan Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM kali ke-40 di UPM, Serdang, baru-baru ini.

Hadir sama Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPM, Prof Datuk Dr Mad Nasir Shamsuddin; dan Pengarah Taman Pertanian UPM, Prof Dr Japar Sidik Bujang.

Ismail berkata, sebagai universiti penyelidikan, UPM mempunyai tanggungjawab yang besar untuk bersama-sama menjayakan pembangunan bangsa, penciptaan kekayaan negara serta kesejahteraan hidup masyarakat.

“MOA sentiasa memperkukuhkan sokongan institusi dengan menyelaras khidmat pengembangan dan menggalakkan khidmat nasihat daripada industri dan agensi antarabangsa yang diiktiraf.

“Kerajaan turut memberi tumpuan dalam memfokuskan pembangunan sektor tertentu seperti industri tenusu ke arah keseimbangan perdagangan import eksport negara.

“Sektor pertanian seperti industri tenusu tempatan dan pembangunan industri jagung bijirin untuk kegunaan makanan ternakan perlu diberikan perhatian memandangkan Malaysia masih bergantung penuh kepada negara luar untuk mendapatkan bekalan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Aini berkata, sejak UPM ditubuhkan, pertanian adalah kepakaran dan kekuatan kepada universiti dan ini membezakannya dengan universiti lain di negara ini.

“Melalui kepakaran dan kekuatan pertanian, UPM berpeluang menyokong sektor pertanian dan makanan negara melalui penghasilan modal insan dan pemindahan ilmu serta kepakaran hasil penyelidikan dan inovasi.

“Selaras dengan tema ekspo iaitu Menggungguli Pertanian Menggapai Reputasi Antarabangsa, UPM sangat mendokong usaha dan hasrat MOA memperkasakan pertanian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 5:57 AM