PERSEMBAHAN di Kepala Batas, September lalu.
PERSEMBAHAN di Kepala Batas, September lalu.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Bukan mudah menganjurkan konsert bergerak berskala besar kerana pelbagai cabaran perlu dihadapi. Tanpa kekuatan mental dan fizikal amat sukar merealisasikan impian itu.

Justeru, Datuk M Nasir mampu tersenyum kerana Konsert M Nasir... Kembara berjaya dan akan melabuhkan tirai di Stadium Malawati, Shah Alam, malam ini.

Peminat yang hadir pasti teruja menghayati nyanyian dan falsafah yang diselitkan dalam setiap karya penyanyi dan komposer popular ini.

Ditemui pada sesi temubual khas baru-baru ini, M Nasir membayangkan bakal menampilkan persembahan yang berbeza daripada tiga lokasi sebelumnya.

“Alhamdulillah konsert saya di Kuantan, Pahang, Pasir Gudang, Johor dan Kepala Batas, Pulau Pinang berjalan lancar. Konsert penutup di Shah Alam malam ini saya akan menyanyikan lebih lagu.

“Selain itu, saya juga akan menyuntik lebih tenaga agar peminat seronok menikmatinya. Suasananya agak berbeza kerana lokasi ini lebih besar berbanding tiga lokasi terdahulu.

“Dalam keadaan sekarang, bukan mudah mengadakan konsert jelajah. Tambahan pula jarak untuk setiap konsert agak lama. Saya berehat panjang selepas habis setiap konsert.

“Syukur peminat beri maklum balas positif dan terus menyokong saya,” katanya.

Selain mencipta nama sebagai penyanyi dan komposer tersohor, M Nasir juga pelukis yang hebat. Istimewa buat peminat, dia akan mengekspresikan bakatnya di atas pentas dan mewarnai suasana konsert dengan cara cukup unik.

Popular dengan koleksi lagu ‘berbisa’ antaranya Mentera Semerah Padi, Bonda dan Tanya Sama Itu Hud Hud, M Nasir turut berkongsi akan mengalunkan lagu bonus.

“Saya boleh menyampaikan lagu baru, tapi belum boleh berjanji. Lagipun saya kini sedang menghasilkan album baru. Lagu sudah ada, tinggal mahu pilih yang betul-betul bagus,” katanya.

Konsert yang dibawakan FIRST Postpaid oleh Celcom dengan kerjasama Perodua anjuran Luncai Emas ini turut akan menampilkan Fynn Jamal sebagai artis undangan.

Hasilkan album baru

Bintang tersohor ini mendedahkan sudah dua bulan berkurung di studio untuk menghasilkan album baru.

“Saya kena hati-hati kerana corak muzik sudah berbeza. Peminat sekarang lebih pentingkan gaya hidup daripada muzik. Cara mereka dengar lagu juga berbeza.

“Dulu dengar di radio, tapi sekarang ada pelbagai medium seperti ‘streaming’. CD (cakera padat) pun hanya golongan tertentu yang dengar. Kemudian ada teknologi muat turun.

“Ada percuma dan ada juga berbayar, namun kebanyakannya percuma. Kita juga ada nada dering. Muat turun memang khusus untuk mereka yang mengikuti perkembangan teknologi.

“Orang yang agak berumur akan dengar radio, tapi kebanyakan lagu yang dimainkan untuk orang muda. Pasaran muzik adalah untuk orang muda. Saya kena buat lagu yang orang muda suka dan untuk pasaran,” katanya.

Menurutnya, album itu sepatutnya berada di pasaran tahun ini, namun tidak dapat disiapkan seperti yang dirancang.

“Saya harap ia diterbitkan awal tahun depan. Tak dinafikan sekarang segala-galanya berbeza termasuk pembikinan album. Dulu hanya ambil masa dua minggu untuk siapkan album, tetapi sekarang bertahun.

“Ini kerana ‘demand’ peminat terhadap album agak kurang. Mereka juga mahukan muzik yang kritis. Kesedaran terhadap muzik semakin tinggi.

“Teknologi juga semakin canggih. Dulu hanya bermula dengan beberapa trek, tetapi kini dengan 16 trek kita boleh memanipulasi lagi untuk hasilkan bunyi yang bagus.

“Pada era digital ini kita tiada had untuk isi apa saja idea. Sama ada bagus atau tidak, bergantung kepada cita rasa masing-masing,” katanya.

Pernah menghasilkan pelbagai genre muzik termasuk lagu rakyat, M Nasir mengakui peminat lebih menyanjung penyanyi berbanding muzik yang dibawa.

“Mereka lebih melihat pesona artis. Mereka juga lebih suka penyanyi daripada pencipta lagu dan penulis lirik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:02 AM