Shah Alam: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengemukakan beberapa cadangan demi manfaat rakyat untuk pertimbangan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2016 termasuk memberi elaun bantuan sara hidup (Cola) kepada pekerja sektor swasta.

Timbalan Setiausaha Agungnya A.Balasubramaniam berkata cadangan itu perlu bagi para pekerja sektor swasta yang menghadapi bebanan akibat kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

"Cola perlu dilaksanakan dalam sektor swasta seperti diamalkan dalam perkhidmatan awam.

"Kerajaan persekutuan memberikan Cola kepada penjawat awam sejak beberapa tahun lalu (dan oleh itu) kenapa sektor swasta tidak turut sama," katanya di sini, hari ini.

Balasubramaniam mahu kerajaan menaikkan gaji minimum kepada sekurang-kurangnya RM1,200 bagi semenanjung, Sabah dan Sarawak memandangkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan pada 1 April tahun ini, memberi kesan kepada mereka yang pendapatan rendah.

Beliau berkata MTUC menuntut satu kajian semula diadakan berhubung kadar gaji minimum memandangkan semakan semula perintah gaji minimum perlu diadakan sekurang-kurangnya setiap dua tahun sekali.

"Yang jelas, kos hidup meningkat sejak perintah gaji minimum pada 2012 dibuat dan perkara ini secara munasabah membawa kepada peningkatan dalam kadar gaji minimum," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 10:17 PM