KENDERAAN Jabatan Kastam yang dirempuh. FOTO ihsan Jabatan Kastam
KENDERAAN Jabatan Kastam yang dirempuh. FOTO ihsan Jabatan Kastam
Oleh Aizat Sharif


Padang Besar: Tiga pegawai penguatkuasa Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) cawangan Padang Besar cedera termasuk dua parah apabila kenderaan dinaiki dilanggar oleh tonto yang mengikuti pergerakan kenderaan mereka di Titi Tinggi, Padang Besar. awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Rizani Che Ismail berkata, kejadian berlaku pada 4.15 pagi apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) JKDM Padang Besar sedang mengekori van pikap bernombor pendaftaran Thailand yang disyaki membawa muatan minuman keras yang tidak dibayar cukai di KM20 Jalan Padang Besar-Kangar berhampiran Taman Singgahsana, Titi Tinggi.

"Dalam masa yang sama juga, tanpa disedari MPV kastam turut diekori beberapa kereta lain yang disyaki tonto dan satu daripada kereta disyaki tonto itu menghimpit dan melanggar kenderaan kastam," katanya kepada Harian Metro.

Pelanggaran itu menyebabkan MPV milik kastam terbalik dan dua anggota kastam tercampak keluar dari kenderaan mereka.

"Mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke hospital oleh anggota kastam yang berada tidak jauh dari tempat kejadian," katanya lagi.

Anggota kastam yang parah dikenali sebagai Mohd Safawi Rosdi, 27, dari Ketereh, Kelantan dan Mat Zohir Mohd Saad, 47, dari Kedah manakala seorang lagi, Abdullah Ayob, 46 yang memandu MPV itu hanya cedera ringan.

Mangsa kini dirawat di Unit Rawat Rapi, Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 2:28 PM