DUA suspek lelaki (baju lokap oren) diiringgi anggota polis keluar dari pekarangan Mahkamah Majistret Kangar. FOTO Hafizudin Mohd Safar
DUA suspek lelaki (baju lokap oren) diiringgi anggota polis keluar dari pekarangan Mahkamah Majistret Kangar. FOTO Hafizudin Mohd Safar
Oleh Aizat Sharif


Kangar: Dua lelaki ditahan reman selama tujuh hari bermula pada hari ini bagi membantu siasatan kes cubaan membunuh pegawai penguat kuasa Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Padang Besar dengan melanggar kereta pegawai kastam itu di Titi Tinggi, Padang Besar pada Jumaat lalu.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Norhayati Ibrahim pada 10 pagi tadi di Mahkamah Majistret Kangar.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail mengesahkan perkara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai.

Suspek berusia dalam lingkungan 30an itu ditahan di Padang Besar pada awal pagi ini manakala kereta yang dipercayai melanggar kenderaan yang dinaiki oleh tiga pegawai penguatkuasa kastam itu pula berjaya ditemui di Kuala Sanglang, Kedah.

Dalam kejadian pada Jumaat itu, tiga penguat kuasa JKDM cedera termasuk dua parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dirempuh kereta, dipercayai kumpulan 'tonto'.

Kejadian berlaku kira-kira 4.15 pagi ketika MPV milik JKDM cawangan Padang Besar dinaiki tiga penguat kuasa itu sedang mengekori tiga kenderaan disyaki membawa rokok dan arak yang tidak dibayar cukai di kawasan Titi Tinggi, Padang Besar.

Dua anggota, Mat Zohir Mohd Saad, 47, dari Kedah dan Mohd Safawi Rosdi, 27, dari Ketereh, Kelantan parah selepas masing-masing tercampak keluar dari kenderaan sebaik dirempuh kereta disyaki dinaiki kumpulan tonto itu

Manakala pemandu JKDM, Abdullah Ayob, 46, pula cedera ringan dan kesemua mangsa dirawat di Hospital Tuanku Fauziah Kangar untuk pemeriksaan lanjut.

Berita berkaitan

Tiga pegawai kastam cedera dilanggar tonto: http://hmtro.com/1JWgQmC

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2015 @ 2:28 PM