BAHARI (kiri) bersama anggotanya menunjukkan rokok seludup dan arak yang dirampas. OTO Eizairi Shamsudin
BAHARI (kiri) bersama anggotanya menunjukkan rokok seludup dan arak yang dirampas. OTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif


Padang Besar: Sebanyak 1,985 karton rokok putih dan 4,812 botol dan tin minuman keras bernilai hampir RM500,000 yang belum lulus cukai dirampas dalam empat kenderaan di kawasan hutan Black Forest berhampiran padang golf Bukit Kayu Hitam, semalam.

Rampasan dilakukan membabitkan kerjasama Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis, AKSEM Kedah dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara.

Mereka menerima maklumat orang ramai mengenai kehadiran empat kenderaan iaitu Proton Waja, Naza Kia Caren, Naza Ria dan Proton Exora di kawasan hutan Black Forest, Bukit Kayu Hitam sekitar 11 malam kelmarin.

Komander AKSEM Padang Besar, Asisten Superitendan Bahari Ahmad berkata, anggota AKSEM Perlis yang menerima maklumat itu kemudian melakukan intipan di kawasan itu bersama anggota AKSEM Kedah dan PGA Briged Tenggara.

"Intipan yang dilakukan sehingga 7 pagi bagaimanapun tidak berjaya untuk menangkap pemilik kenderaan berkenaan dan hasil pemeriksaan ke atas empat kenderaan itu, kita menemui sejumlah besar karton rokok putih serta botol dan tin minuman keras dari pelbagai jenis," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat AKSEM Perlis, disini, tengah hari tadi.

Siasatan selanjutnya bekalan rokok putih dan minuman keras yang belum lulus cukai daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) itu diperoleh dari Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam untuk dipasarkan ke restoran atau kedai runcit sekitar Butterworth dan Alor Setar.

"Kita percaya kenderaan yang ditemui ini adalah milik sindiket yang bergerak membawa barangan itu secara berasingan dan barangan itu akan dipindahkan kepada anggota sindiket yang lain untuk tujuan pengagihan ke destinasi seterusnya," katanya lagi.

Selain itu, siasatan AKSEM keatas kenderaan itu mendapati tiga daripada empat kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran palsu.

"Semua kenderaan kecuali kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora itu didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kita sedang mengesan pemilik sebenar kenderaan itu bagi membantu siasatan," katanya lagi.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk cukai yang dikenakan adalah RM462,300 dan kesemua barangan diserahkan kepada JKDM Perlis untuk siasatan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana membawa barangan belum lulus Kastam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 2:59 PM