Kamarudin  (kiri) memeriksa kereta yang digunakan suami isteri warga tempatan untuk menyeludup masuk 99 kg ganja bernilai RM148,650.00 dari Thailand melalui Wang Kelian. FOTO Hafizudin Mohd Safar
Kamarudin (kiri) memeriksa kereta yang digunakan suami isteri warga tempatan untuk menyeludup masuk 99 kg ganja bernilai RM148,650.00 dari Thailand melalui Wang Kelian. FOTO Hafizudin Mohd Safar
Oleh Aizat Sharif


Padang Besar: Suami isteri ditahan kerana cuba menyeludup dadah jenis ganja seberat 99 kilogram (kg) bernilai RM148,650 ke negara ini di Wang Kelian, Perlis pada 27 Disember lalu.

Pasangan yang masing-masing berusia 35 tahun dan berasal dari Kedah itu ditahan ketika cuba melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin di Wang Kelian oleh sepasukan anggota dari Unit Khas Pemeriksaan Penumpang Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Perlis.

Pengarah JKDM Perlis Kamarudin Jaafar berkata, kejadian berlaku pada jam 4.15 petang apabila anggota JKDM yang bertugas di kompleks berkenaan ternampak kereta Proton Waja berwarna hitam dan mempunyai pelekat Jabatan Imigresen Malaysia pada cermin hadapan sedang melalui kawasan pemeriksaan itu.

“Kereta itu dipandu oleh seorang lelaki dan terdapat seorang wanita duduk di tempat duduk penumpang hadapan. Anggota JKDM yang curiga kemudian memeriksa kereta itu dan menemui dadah jenis ganja yang dibungkus dalam beg plastik dalam kereta,” katanya kepada pemberita di Kompleks Kastam Padang Besar, di sini, tengah hari tadi.

Sebanyak 69 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja ditemui dalam tempat meletak barang di but kereta itu yang beratnya dianggarkan 69 kg.

“Selain itu, kami juga menemui 30 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja yang diletakkan di sebelah kiri ruang tempat duduk penumpang belakang kereta itu dan dianggarkan beratnya adalah 30 kg,” katanya.

Menurutnya, tiga paket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis ganja dan heroin turut ditemui di dalam poket seluar dan beg sandang lelaki itu.

Katanya, lelaki itu bukanlah anggota JKDM meskipun kereta yang didaftarkan atas namanya itu mempunyai pelekat KDM.

“Suami isteri itu tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan mereka dipercayai sering berulang-alik ke Thailand untuk mengambil bekalan dadah yang dipercayai akan dipasarkan ke pasaran negeri bahagian utara Semenanjung seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak” katanya.

Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM148,650 dan kedua-dua suspek kini direman sehingga 11 Januari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 4:41 PM