Tertuduh, Shakirudin (baju kuning) dibawa masuk ke  mahkamah oleh anggota polis bertugas. FOTO Aizat Sharif
Tertuduh, Shakirudin (baju kuning) dibawa masuk ke mahkamah oleh anggota polis bertugas. FOTO Aizat Sharif
Oleh Aizat Sharif

Kangar: Seorang pekebun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar petang tadi atas tuduhan cubaan membunuh tiga pegawai Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Perlis di Padang Besar awal bulan ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Shakirudin Salim, 36, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norhayati Ibrahim.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa cuba membunuh tiga pegawai JKDM Perlis, Abdullah Ayob, 36, Mohd Safawi Rusdi, 27 dan Mat Zoher Mohd Saad, 47 dengan cara melanggar belakang kenderaan JKDM jenis Honda Odyssey sehingga terbabas dengan niat hendak menyebabkan kematian pada 9 Oktober lalu, pada 4.25 pagi di KM24 Jalan Titi Tinggi, Jalan Padang Besar-Kangar di Padang Besar.

Tertuduh disyaki melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang mana mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili Amar Jit Singh yang bertindak selaku peguam ‘pro bono’ (percuma) bagi pihak tertuduh untuk rayuan jaminan.

Norhayati kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia dan menetapkan 1 Disember depan untuk penyerahan dokumen dan lantikan peguam baru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Oktober 2015 @ 7:06 PM