SEORANG daripada bayi itu yang dibungkus dengan plastik hitam.
SEORANG daripada bayi itu yang dibungkus dengan plastik hitam.

Bengkulu: Tiga bayi kembar yang dilahirkan tidak cukup bulan di sebuah kampung pedalaman di wilayah ini diselamatkan selepas dibungkus dengan plastik sampah kerana ketiadaan inkubator untuk menghangatkan tubuh mereka.

Bayi kembar tiga itu dilahirkan oleh Titi Hidayanti kelmarin dan kelahiran mereka disambut bidan kampung Lela Sartika.

Menurut Lela, dia berdepan dengan masalah untuk menyelamatkan kembar berkenaan kerana ketiadaan inkubator di klinik kampung itu.

“Saya teringat apa yang diajarkan oleh seorang pakar bayi dahulu. Katanya, guna saja karung sampah hitam jika tidak ada inkubator. Saya membungkus mereka dengan plastik sampah hitam yang terdapat dalam klinik bagi memastikan ketiga-tiga bayi itu stabil dan selamat,” kata bidang itu.

Menurutnya, seluruh badan kembar itu dimasukkan ke dalam karung sampah berkenaan, kecuali kepala dan setiap seorang diapit dengan botol susu berisi air panas.

Dengan pertolongan seorang penduduk kampung, Lela kemudian menghantar si ibu dengan ketiga-tiga kembar itu ke hospital terdekat, di daerah Mukomuko yang jaraknya 80 kilometer dari desa tempat bayi itu lahir.

“Di situlah baru mereka dimasukkan ke dalam inkubator. Mujur saya bertindak pantas. Jika tidak, ketiga-tiga kembar itu mungkin berdepan dengan masalah,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:08 AM