MAYAT bayi yang ditinggalkan di Masjid Jamek Gopeng Baru bersama sekeping nota. FOTO ihsan pembaca
MAYAT bayi yang ditinggalkan di Masjid Jamek Gopeng Baru bersama sekeping nota. FOTO ihsan pembaca
Farah Suhaidah Othman


Gopeng: Polis tahan tiga beranak pada Isnin lalu berhubung kes penemuan mayat bayi lelaki masih bertali pusat bersama sekeping nota di Masjid Jamek Baru Gopeng, di sini, 29 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, ketiga-tiga suspek ditahan di rumah mereka di Taman Raia di sini, selepas dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.

Katanya, ketiga-tiga mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dan siasatan awal mendapati salah seorang suspek berusia 20 tahun adalah ibu kepada bayi berkenaan, manakala dua lagi ialah adik perempuan serta bapa ibu bayi berkenaan.

Menurutnya, hasil soal siasat terhadap suspek memberitahu yang dia melahirkan bayi di rumahnya dan proses kelahiran dilakukan oleh adiknya.

"Bayi itu dipercayai masih hidup ketika dilahirkan sebelum wajahnya bertukar kebiruan dan meninggal dunia di rumah.

"Selepas itu, seorang lagi suspek yang juga bapa kepada ibu bayi berkenaan panik dan membawa bayi itu ke masjid sebelum meninggalkannya bersama sekeping nota," katanya.

Kong Soon berkata, ketiga-tiga suspek direman bermula Isnin lalu hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 3:48 PM