Mohd Sheriff menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Rohana Yusof.
Mohd Sheriff menyampaikan cenderamata kepada Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Rohana Yusof.

Petaling Jaya: Penarafan kredit Malaysia yang dinilai sebagai rendah oleh Tukaran Mungkir Kredit (CDS) tidak mencerminkan pengukuhan asas ekonomi Malaysia.

Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia (MEA) Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim berkata, CDS bertindak balas kepada berita pasaran semasa dan mencerminkan pandangan pemain pasaran.

Katanya, ia juga tidak menggambarkan fakta atau asas ekonomi kerana agensi penarafan kredit perlu mengambil pandangan lebih seimbang dan jangka panjang mengenai ekonomi dan kewangan awam.

“Banyak faktor berkaitan sentimen berhubung kait dengan ketidaktentuan global, tetapi isu berkaitan tadbir urus dan persepsi domestik tidak harus diketepikan.

“Diharapkan ia lebih baik berikutan prospek ekonomi negara dan isu tadbir urus yang semakin baik,” katanya di Konvensyen Ekonomi Malaysia 2015, di sini, semalam.

Menurutnya, dalam usaha meningkatkan sentimen pasaran, banyak masalah semasa berkaitan dengan ketidaktentuan global, isu tadbir urus tempatan dan persepsi, malah penarafan sebenar Malaysia masih kukuh seperti dicerminkan melalui penarafan daripada beberapa agensi penarafan.

“Lebih cepat kerajaan menangani isu berkaitan urus tadbir dan persepsi, maka ia lebih baik buat negara,” katanya.

Acara selama dua hari yang bertemakan ‘Tadbir Urus Kewangan dan Pertumbuhan Ekonomi’ adalah anjuran bersama MEA dan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Sukhdave Singh dalam ucaptamanya berkata, tadbir urus kewangan yang padu adalah tunjang kepada ekonomi stabil dan kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2015 @ 6:27 AM