Kuala Lumpur: Kerajaan akan terus memantau perkembangan luaran dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan memastikan ia mempunyai pilihan dasar yang cukup bagi mengurangkan kesannya kepada negara.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, kerajaan sedar yang keadaan Tukaran Mungkir Kredit (CDS) Malaysia menjadi tidak menentu dan meluas baru-baru ini.

“CDS bertindak balas kepada berita pasaran semasa dan mencerminkan pandangan pemain pasaran. Oleh itu, pergerakan baru-baru ini tidak mencerminkan kekukuhan pendasar ekonomi Malaysia.

“Agensi penarafan kredit mengambil pandangan yang lebih seimbang dan jangka panjang mengenai ekonomi dan kewangan awam,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, penarafan negara adalah lebih stabil dan berdasarkan asas ekonomi.

“Cabaran besar berikutan potensi kenaikan kadar faedah AS, kesan perbezaan dasar di negara maju, pertumbuhan China yang lebih lembap daripada dijangka, di samping harga komoditi yang terus rendah dijangka menjejaskan pasaran sedang muncul, termasuk Malaysia.

“Kerajaan realistik dalam menilai kesan perkembangan terbabit dan memberi tumpuan untuk mengukuhkan daya tahan ekonomi.

Sehubungan itu, ia menubuhkan Jawatankuasa Khas Ekonomi pada 1 September 2015 untuk mendapatkan pandangan pakar bagi cadangan segera dan jangka sederhana bagi mengukuhkan lagi asas ekonomi Malaysia,” katanya.

Menurutnya, ekonomi Malaysia kekal kukuh, tumbuh sebanyak 5.3 peratus pada separuh pertama 2015 ketika pertumbuhan global yang sederhana dan daya tahan ekonomi negara untuk mengharungi risiko luaran telah mengukuh sejak beberapa tahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan struktur ekonomi yang lebih seimbang dan pelbagai.

Katanya, asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia sudah diperakui beberapa agensi penarafan kredit dengan Fitch mengesahkan kadar penarafan Malaysia pada A dan menyemak semula prospeknya daripada negatif kepada stabil pada Jun 2015 manakala pada Julai 2015, S&P mengesahkan penarafan pada A dengan mengekalkan prospek stabil. -BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2015 @ 5:08 AM