Johor Bahru: Bajet 2016 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 23 Oktober depan akan mencerminkan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dengan memberi tumpuan ke atas usaha mengimbangi antara ekonomi modal dan ekonomi rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Datuk Seri Idris Jala berkata, kerajaan akan meneruskan program transformasinya dengan penekanan ke atas kedua-dua usaha terbabit.

“Yang pasti, akan sentiasa ada keseimbangan dalam bajet untuk ekonomi modal dan ekonomi rakyat. Apa yang dimuatkan dalam bajet akan mencerminkan RMK-11,” katanya di luar acara Invest Iskandar Malaysia 2015 di Persada Johor International Convention Centre, di sini, semalam.

Beliau berkata, usaha akan dilakukan bagi memastikan semua inisiatif menyokong pertumbuhan mampan.

Sementara itu, menjawab soalan lain, beliau menyifatkan kemungkinan pedagang swap mungkir kredit (CDS) menurunkan Malaysia kepada status kadar rendah sebagai berat sebelah.

“Mereka berat sebelah, sentimen mereka negatif, namun agensi penarafan utama dan rasmi masih melihat Malaysia pada kedudukan positif. Berdasarkan rekod pelaburan lima tahun lalu, asas ekonomi masih baik dan sentimen positif akan kembali,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 September 2015 @ 6:11 AM