Petaling Jaya: Keadaan ringgit Malaysia dijangka pulih pada separuh pertama tahun depan (2016) iaitu pada kadar antara RM3.90 hingga RM4.20 disokong oleh pertumbuhan ekonomi global yang dijangka bertambah baik pada 2016.

Pakar ekonomi, Dr Yeah Kim Leng berkata, jangkaan itu terutama oleh pemulihan harga minyak dan pertumbuhan China yang dilihat akan stabil.

“Dua faktor ini iaitu pemulihan harga minyak dan pertumbuhan stabil China dijangka mendorong ringgit kembali mengukuh kerana pada masa ini pasaran tukaran mata wang menerima impak daripada jangkaan sentimen sehingga membawa kepada penarafan rendah Tukaran Mungkir Kredit (CDS).

“Untuk itu, saya melihat ringgit boleh mencecah sekitar RM3.90 hingga RM4.20 pada separuh pertama tahun depan dengan menunjukkan tanda pemulihan bermula pada awal 2016,” katanya.

Beliau ditemui pada Persidangan Ekonomi Malaysia 2015: Tadbir Urus Kewangan dan Pertumbuhan Ekonomi yang disempurnakan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr Sukhdave Singh, di sini.

Menurutnya, dalam tempoh jangka masa panjang, ringgit boleh kembali berlegar di bawah RM3.80 sekiranya isu kontroversi dalaman diselesaikan.

Pada masa sama, katanya, ringgit dan mata wang lain juga menerima kesan daripada kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS yang dijangka Disember ini.

“Bagaimanapun, pada tahun depan diharap faktor luaran dapat membantu mengukuhkan kembali ringgit dan meningkatkan semula permintaan kepada eksport,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 6:14 AM