Kementerian Kewangan.
Kementerian Kewangan.
Mahanum Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Profil kredit Malaysia kekal kukuh pada paras A3 stabil disokong oleh ekonominya yang pelbagai dan kompetitif, demikian kata Moody's Investors Service.

Firma antarabangsa itu tidak menjangkakan pandemik Covid-19 mempunyai impak negatif berterusan terhadap model ekonomi Malaysia meskipun penularan semasa dan gelombang seterusnya akan menangguhkan pertumbuhan, tetapi ia tidak menghalang ekonomi kembali kepada kadar pertumbuhan tinggi.

A3 adalah penarafan yang mencerminkan negara masih memiliki kedudukan kewangan mantap dan mempunyai rizab tunai dengan risiko kemungkiran bayaran semula hutang yang rendah.

Namun, ia mengingatkan terdapat cabaran kredit bagi Malaysia seperti asas pendapatan kerajaan yang sempit, yang mengehadkan fleksibiliti fiskal dalam memberi tindak balas kepada kejutan seperti pandemik Covid-19 dan gangguan politik yang mungkin mengalihkan perhatian daripada keutamaan dasar.

"Profil kredit Malaysia pada A3 stabil disokong oleh ekonomi yang pelbagai, kompetitif dan sederhana besar, sumber alam sekitar yang mencukupi dan prospek pertumbuhan sederhana yang kukuh.

"Simpanan domestik yang besar menyokong tanggungan hutang kerajaan yang tinggi dan risiko kecairan yang rendah," katanya dalam nota pendapatnya mengenai tinjauan terkini profil kredit Malaysia.

Moody's Investors Service berkata, faktor yang mendorong kepada peningkatan penarafan kredit Malaysia ialah jika konsolidasi fiskal meningkat secara ketara, terutama menerusi langkah memperluas asas pendapatan semasa yang sempit, menunjukkan penurunan berterusan dalam beban hutang kerajaan dan peningkatan kemampuan hutang.

Ia berkata, peningkatan lebih lanjut ialah pada rangka kerja institusi yang meningkatkan standard tadbir urus dan mendorong kepada peningkatan kredibiliti dan keberkesanan dasar, termasuk dalam pengurusan kewangan awam, dan meningkatkan potensi prestasi pertumbuhan Malaysia, yang juga positif kredit.

Bagi faktor yang boleh menyebabkan penurunan penarafan pula, Moody's Investors Service berkata, kemerosotan berterusan dalam metrik hutang dan kemampuan hutang kerajaan, peningkatan mendadak dalam liabiliti luar jangka, dan/atau kelemahan komitmen terhadap konsolidasi fiskal jangka sederhana yang akan menyebabkan kemerosotan berterusan dalam pengukuhan fiskal kerajaan.

Katanya, politik tidak menentu yang menjejaskan kredibiliti dan keberkesanan institusi dan mengancam kestabilan aliran modal juga akan negatif kredit.

"Dalam konteks ketidakpastian jangka panjang terhadap corak perdagangan global dan rantaian bekalan, prospek pertumbuhan jangka sederhana yang lemah, termasuk pelaburan yang lebih rendah secara struktur, juga akan memberi tekanan penurunan terhadap penarafan," katanya.

Mengenai impak pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama bermula 1 Jun lalu, Moody's Investors Service berkata, langkah membendung pandemik terbaharu itu akan memberi kesan yang lebih besar berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Ia mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar Malaysia berkembang lebih 5.0 peratus pada 2021.

Mengenai paras defisit, Moody's Investors Service berkata, dengan perbelanjaan fiskal tambahan, pihaknya menjangkakan defisit fiskal kerajaan akan melebar kepada kira-kira 6.0-6.5 peratus daripada KDNK tahun ini.

Ia menjangkakan tanggungan hutang kerajaan Malaysia akan kekal tinggi sekitar 64-67 peratus daripada KDNK sehingga 2023 selepas meningkat ke paras kira-kira 65 peratus pada akhir 2020 berbanding melebihi 55 peratus pada 2019.

"Anggaran kami untuk hutang umum kerajaan Malaysia merangkumi hutang beberapa syarikat milik kerajaan yang mendapat jaminan kerajaan, dan pada pandangan kami, tidak mungkin mereka dapat membayar hutang secara bebas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 1:56 PM