Keadaan lalu lintas yang sesak menghala Plaza Tol Gombak berikutan warga kota pulang ke Pantai Timur bagi menyambut Aidiladha. - Foto ABDULLAH YUSOF
Keadaan lalu lintas yang sesak menghala Plaza Tol Gombak berikutan warga kota pulang ke Pantai Timur bagi menyambut Aidiladha. - Foto ABDULLAH YUSOF
Oleh Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Setakat jam 8.30 malam tadi, aliran trafik di lebuh raya utama seluruh negara dilaporkan bergerak perlahan yang ditambah dengan beberapa kemalangan ketika orang ramai berpusu-pusu pulang ke kampung sempena Aidiladha.

Penolong Jurutera Kanan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Ramli Zekon berkata, bagi arah utara, keadaan trafik dilaporkan perlahan dari Bertam ke Sungai Petani dengan kemalangan di Kilometer 116 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala utara.

Menurutnya, antara jalan yang turut sesak ialah Rawang ke Sungai Buaya, Slim River ke Sungkai, Bidor ke Hentian Rehat dan Rawat Tapah, Tapah ke Ipoh Selatan dan Juru ke Permatang Pauh.

"Bagi laluan selatan, kesesakan dilaporkan berlaku di Kilometer 236 PLUS arah utara iaitu Nilai ke Seremban akibat daripada kejadian sebuah kenderaan terbakar.

"Turut mengalami kesesakan jalan dari Simpang Rengam ke Sedenak akibat kemalangan di kilometer 57.7 arah selatan dan Pandan ke Kempas," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Katanya, bagi laluan Timur, kesesakan dilaporkan di Plaza Tol Gombak arah timur dan Bukit Tinggi ke Lentang.

"Aliran trafik dijangka bertambah sehingga jam 12 tengah malam ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2015 @ 8:57 PM