FOTO hiasan
FOTO hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Aliran trafik tinggi dilaporkan di lebuh raya utama berikutan pertambahan jumlah kenderaan pada hari raya keempat sambutan Aidilfitri setakat 2 petang ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi laman Twitter memaklumkan aliran trafik tinggi direkodkan di kedua-dua arah selepas Plaza Tol Bentong iaitu sepanjang 6.1 kilometer (km) menuju ke ibu negara dan 8.7 km menghala ke Lentang.

Aliran trafik juga tinggi di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah ke selatan iaitu Simpang Renggam ke Sedenak dan Sedenak ke Hentian Kulai, serta perlahan arah ke utara dari Hentian Kulai ke Sedenak dan selepas Hentian Tangkak ke Jasin dan Ayer Keroh.

Sementara itu, trafik dilaporkan sesak di Tambak Johor berdekatan laluan masuk Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar arah ke Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 5:04 PM