Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Kesesakan aliran trafik dilaporkan terus berlaku di beberapa lokasi sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) berikutan peningkatan jumlah kenderaan menuju ke ibu kota, petang ini.

Pengurus Besar Kanan, Ketua ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, setakat jam 5.10 petang tadi, kesesakan kenderaan lebih 12 kilometer dilaporkan berlaku di Kilometer (KM) 73.2 hingga ke KM60.6 laluan Karak-Bentong.

"Kesesakan sepanjang 8.8 kilometer turut dikesan berlaku di KM58 hingga KM49.2 laluan Lentang-Bukit Tinggi.

"Selain itu, kesesakan sepanjang 7.7 kilometer turut berlaku di laluan Genting Sempah arah ke Gombak dari KM27.5 hingga ke Plaza Tol Gombak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pertambahan jumlah kenderaan hari ini berkemungkinan orang ramai mahu mengelak melakukan perjalanan balik ke ibu negara pada hujung minggu dan ada yang mula bertugas esok.

Bagaimanapun katanya, keadaan trafik di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dilaporkan lancar di kedua-dua arah.

Radzimah berkata, statistik menunjukkan sebanyak 66,639 kenderaan menggunakan KLK arah barat ke ibu negara sejak jam 12 tengah malam hingga jam 4 petang tadi.

Sementara itu, kesesakan aliran trafik turut dilaporkan berlaku di bahagian selatan Lebuhraya Utara Selatan di Pagoh ke Bukit Gambir, Jasin ke Ayer Keroh dan Pedas Linggi ke Port Dickson.

Ketua Kecemerlangan Operasi Kumpulan PLUS Malaysia Berhad (Plus), Mohd Yusuf Abdul Aziz, berkata trafik di beberapa laluan di bahagian utara kini perlahan antaranya dari Bukit Merah ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol dan Perai ke Jawi.

"Aliran trafik juga kini perlahan dari Alor Pongsu ke Bukit Merah, Jawi ke Bandar Baharu, Perai ke R&R Sungai Bakap dan Sugai Petani Utara ke Sungai Petani Selatan.

"Dalam pada itu, keadaan trafik juga perlahan dari kawasan R&R Tapah ke Sungkai dan dari arah Gopeng ke kawasan R&R Tapah," katanya.

Katanya, beberapa kejadian kemalangan yang berlaku turut memberikan kesan kepada kelancaran aliran trafik sehingga menyebabkan berlaku kesesakan teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 6:16 PM