Oleh Azizan Hashim


Ipoh: Sentuhan Namkung Woong (gambar) ditagih Perak untuk membantu Bos Gaurus meraih kemenangan pertama dalam saingan Piala Malaysia 2015 apabila melayani kunjungan Sarawak dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia, malam ini.

Jurulatih Vjeran Simunic nyata berada dalam situasi sukar dan tidak selesa kerana hasrat memulihkan pasukan Yob belum berjaya, lantas berharap pemain Korea Selatan itu mampu membawa kejayaan Perak.

Kemenangan begitu penting buat Perak ketika ini kerana pasukan Yob menghadapi kemarau kemenangan dalam sembilan perlawanan termasuk yang terbaru tumpas 0-2 kepada Johor Darul Ta’zim dalam perlawanan pembukaan piala berprestij itu

“Kami perlu menang jika ingin berada pada kedudukan terbaik. Malah bukan setakat menentang Sarawak, Perak juga perlu mengguna kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dua lagi perlawanan selepas ini sebaik mungkin,” katanya.

Jurulatih itu berkata, berdasarkan suasana dalam pasukan, Perak berada pada kedudukan baik kerana dapat menurunkan Woong yang sudah pulih sepenuhnya.

Woong diturunkan ketika perlawanan dengan Johor DT tetapi untuk baki 20 minit terakhir perlawanan di Larkin dan dijangka memulakan perlawanan malam ini bergandingan dengan Charles Souza Chad.

“Saya berharap mereka mampu melakukan sesuatu untuk kejayaan pasukan malam ini. Ketika menentang Johor DT mereka mencipta beberapa peluang tapi hanya tidak bernasib baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:06 AM