Oleh Azizan Hashim


Ipoh: Ketumpulan jentera serangan Perak meresahkan jurulatihnya Vjeran Simunic dalam kempen Kumpulan B Piala Malaysia.

Justeru jurulatih Croatia itu mahu menggilap pemain di bahagian berkenaan membabitkan Chales Souza Chad, Namkung Woong (gambar) dan Bobby Gonzales dalam usaha mempertajamkan jentera serangannya menjelang pertemuan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Ipoh, Sabtu ini.

“Kami menguasai perlawanan tapi dihampakan penyudahan lemah. Jika ini berterusan pasukan rugi kerana terpaksa berhempas-pulas untuk mengutip mata penuh biarpun realitinya kami boleh menang mudah.

“Jentera serangan Perak terutama trio itu perlu lebih menyengat dan tidak membazir peluang diperoleh,” katanya.

Katanya kejayaan dengan keputusan memberangsangkan akan dapat menarik kembali kehadiran penyokong ke stadium.

“Saya difahamkan sebelum ini penyokong membanjiri stadium dalam setiap perlawanan tapi jumlah yang hadir ketika perlawanan dengan Sarawak, Sabtu lalu hanya lebih kurang 6,000.

“Oleh itu pemain perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangan dalam perlawanan kedua di tempat sendiri ini supaya penyokong kembali berminat untuk datang menyokong.

“Kejayaan ke atas Sarawak itu saya kira akan merintis jalan ke arah itu,” katanya.

Mengenai perlawanan dengan ATM, jurulatih berasal dari Croatia itu menegaskan aksi itu bagaikan misi hidup atau mati bagi The Bos Gaurus.

“Kami perlu menang jika ingin mempunyai peluang meneruskan kemaraan. Selepas kejayaan ke atas Sarawak, saya harap pemain mempunyai selera untuk menghasilkan satu lagi kemenangan di tempat dan di depan penyokong sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 September 2015 @ 6:05 AM