Oleh Azizan Hashim


Ipoh: Aksi bertenaga beberapa pemain muda dari skuad Piala Presiden pada perlawanan persahabatan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Perak, kelmarin melegakan jurulatih The Bos Gaurus, Datuk M Karathu.

Pada perlawanan dimenangi Perak 4-2 itu, Karathu menyelitkan pemain dari skuad Piala Presiden termasuk Mohd Fikri Sudin dan Ahmad Khairi Anuar dalam kesebelasan permulaan dan kemudian memasukkan Khairul Asyraf Sahizah dan Mohd Raffi Nagorgani pada babak kedua.

“Saya suka dengan persembahan mereka. Mereka mungkin kurang dari segi pengalaman tapi komitmen cukup tinggi. Malah malam ini (kelmarin) setiap pemain menunjukkan kesungguhan tinggi,” katanya.

Beliau memberi amaran akan mengeluarkan pemain tidak menunjukkan kesungguhan semasa perlawanan dan tindakan itu mungkin mendorong pemain berusaha gigih.

Pada perlawanan itu, dua jaringan Marco Tulio serta sentuhan pemusnah Charles Souza Chad mengejutkan anak buah B Sathianathan.

Tentera bagaimanapun merapatkan kedudukan menerusi dua jaringan penalti disempurnakan Jerry Nelson sebelum pemain Korea Selatan, Namkung Woong memastikan kemenangan Perak dengan gol cantik pada minit ke-71.

“Mereka bermain sebagai satu pasukan serta menunjukkan kualiti bertahan untuk menyekat lawan daripada melakukan sebarang kemusnahan. Ini yang saya mahu tengok dalam diri setiap pemain,” kata Karathu.

Lebih menggembirakan jurulatih merangkap pengurus pasukan itu sumbangan berkesan awang import Tulio, Chad dan Woong yang menunjukkan kemahiran tinggi di atas padang becak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 6:26 AM