NAMKUNG (tengah) tidak dapat beraksi menentang ATM akibat penggantungan.
NAMKUNG (tengah) tidak dapat beraksi menentang ATM akibat penggantungan.
Oleh Azizan Hashim

Ipoh: Aksi bersemangat pada babak kedua ketika menentang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Ipoh pada 5 November lalu dituntut daripada pemain Perak apabila turun menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi , malam ini.

Jika persembahan seperti itu mampu dijelmakan serta ditambah dengan tuah menyebelahi Perak, jurulatih Vjeran Simunic yakin mereka boleh berjaya.

“Kami bermain cemerlang pada babak kedua untuk mengenakan tekanan terhadap Johor DT.

“Cuma ketiadaan penyudah menjadi faktor menghalang kejayaan kami,” katanya.

Simunic belum menyerah kalah biarpun tidak mempunyai barisan terbaik untuk membuat perhitungan perlawanan penutup tirai Kumpulan B itu.

“Kami bukan pergi untuk kalah. Sebaliknya pemain bertekad untuk membalas dendam kekalahan di Ipoh pada pertemuan pertama.

“Jika mereka boleh menang di Ipoh kenapa kami tidak boleh menang di tempat mereka.

“Jadi, tidak ada sebab mengapa kami tidak boleh lakukannya sekali lagi,” katanya

Ketiadaan Namkung Woong yang digantung serta Mohammad Ridzuan Azly Hussham dan Mohd Hafiz Ramdan akibat kecederaan diakui membantut perancangan Simunic dalam usaha menamatkan kempen kumpulan B itu dengan nota kejayaan.

Justeru, 18 pemain yang dibawa ke Seremban pagi semalam tetap dianggap pertaruhan terbaik untuk menggempur anak buah Azhar Abdullah, malam ini.

Jurulatih Croatia itu berkata kecuali rombakan jentera serangan yang menyaksikan Bobby Gonzales dipadankan dengan Charles Souza Chad dan dibantu James Horace dia mengekalkan Mohd Syazwan Roslan selaku kapten.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:31 AM