PENDUDUK melakukan kerja membaik pulih rumah berikutan kerosakan rumah yang dibeli.
PENDUDUK melakukan kerja membaik pulih rumah berikutan kerosakan rumah yang dibeli.
Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) mencatatkan 318 kes membabitkan kes kecacatan atau kerosakan atau ketidakpatuhan spesifikasi seperti dalam perjanjian jual beli (PJB) antara 1 Januari hingga 5 November lalu menunjukkan peningkatan 54 kes berbanding 246 kes pada 2013.

Angka itu menunjukkan isu berkaitan kerosakkan rumah dalam tempoh liabiliti semakin meningkat dan pembeli perlu bertindak bagi melindungi hak mereka selepas mengeluarkan wang yang banyak bagi memiliki sebuah kediaman.

Menurut TTPR, prosedur umum yang perlu dilakukan oleh pembeli rumah sekiranya mereka berdepan dengan isu kualiti kediaman selepas pembelian dibuat, pertama pembeli hendaklah mengambil perhatian berkenaan ‘tempoh liabiliti kecacatan’ PJB rumah kediaman mereka.

Ini kerana dalam tempoh liabiliti kecacatan, pemaju akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakan pembaikan atau pembetulan bagi sebarang kerosakan dan kecacatan.

Kedua, dalam tempoh liabiliti, pembeli hendaklah mengemukakan notis bertulis mengenai kerosakan atau kecacatan yang mana pemaju hendaklah membaiki kecacatan atau kerosakan itu dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan notis bertulis berkenaan.

Jika pemaju gagal untuk membaiki atau tiada apa-apa tindakan yang diambil oleh pemaju dalam tempoh 30 hari, pembeli hendaklah memberikan satu lagi notis bersama sebut harga untuk kos pembaikan kepada pemaju.

Apabila menerima notis kedua ini, pemaju hendaklah membaiki kecacatan itu dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis.

Sekiranya pemaju masih gagal, pembeli boleh meneruskan pembaikan bagi kerosakan itu dan menuntut kos pembaikan seperti dalam sebut harga daripada peguamcara pemaju selaku pemegang kepentingan pemaju.

Bagi meningkatkan kesedaran pembeli mengenai hak mereka, TTPR mengadakan taklimat mengenai fungsi dan bidang kuasanya serta hak sebagai pembeli rumah kepada orang awam.

Hebahan melalui stesen radio, pembukaan kaunter bergerak di tempat awam seperti kawasan perumahan dan pusat beli-belah serta pengedaran brosur di kawasan perumahan baru turut dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:11 AM