MEMILIKI kediaman sempurna dan selamat antara impian pemilik kediaman.
MEMILIKI kediaman sempurna dan selamat antara impian pemilik kediaman.
Nurul Husna Mahmud


IMPIAN setiap individu selepas membeli hartanah untuk didiami atau sebagai pelaburan adalah memiliki unit yang sempurna dan selamat.

Namun ada kalanya isu terpencil seperti kecacatan dinding dan kemasan rumah membuatkan pemilik terpaksa menanggung kos luar jangka sehingga membebankan mereka.

Meskipun sudah diadu kepada pemaju, mungkin rungutan itu dipandang sepi kerana sikap mahu lepas tangan atau tidak bertanggungjawab segelintir pemaju yang tidak beretika.

Sebenarnya terdapat saluran yang boleh digunakan pembeli atau pemilik hartanah untuk menuntut hak mereka setelah melakukan pembelian rumah iaitu menerusi Tribunal Tuntuan Pembeli Rumah atau TTPR.

TTPR ditubuhkan di bawah Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118] di bawah di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pada masa sama, TTPR ditubuhkan untuk mendengar dan mengadili tuntutan pembeli rumah yang ingin menuntut ganti rugi atau pampasan daripada pemaju perumahan. Namun bidang kuasa TTPR tertakluk atau membabitkan kes-kes di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja.

Bidang kuasa TTPR hanya membabitkan jenis kediaman dan bukan tuntutan ke atas bangunan komersial.

TUNTUTAN teknikal seperti cat mengelupas dan rekaan tidak mengikut pelan.
TUNTUTAN teknikal seperti cat mengelupas dan rekaan tidak mengikut pelan.

Jadi pemilik ke atas unit kediaman dari bertanah seperti teres, banglo sehinggalah bertingkat termasuk kondominium atau pejabat kecil rumah pejabat (Soho), Pejabat Kecil Pejabat Fleksibel (Sofo) dan suite studio boleh membuat tuntutan ke atas pemaju melaluinya.

Sebelum ke proses lebih rumit, pemilik hartanah perlu memahami terlebih dahulu jenis tuntutan yang boleh difailkan di TTPR iaitu Tuntutan Teknikal dan Tuntutan Bukan Teknikal.

1. Tuntutan Teknikal

- Meliputi kecacatan mutu kerja seperti cat tidak kemas, dinding beralun, rekahan dan sebagainya.

- Kecacatan bahan binaan.

- Rumah tidak dibina mengikut pelan dan spesifikasi seperti dinyatakan dalam perjanjian jual beli dan jual.

GANTI rugi lewat serah rumah antara kes boleh dituntut menerusi TTPR.
GANTI rugi lewat serah rumah antara kes boleh dituntut menerusi TTPR.

2. Tuntutan Bukan Teknikal

- Ganti rugi kelewatan penyerahan milikan kosong (Liquidated Ascertained Damages (LAD)

- Pemulangan deposit

- Lain-lain tuntutan yang berbangkit daripada perjanjian jual dan beli

Sebalik peranan tribunal berkenaan membantu membela hak pemilik hartanah, terdapat juga isu atau tuntutan di luar bidang kuasa saluran itu. Antaranya:

i. Kes membabitkan projek terbengkalai

ii.Fitnah (defamation)

iii.Kecuaian

iv.Penipuan oleh ejen hartanah

v.Mendapatkan kembali tanah atau hartanah

vi.Pertikaian berkaitan hak di bawah wasiat atau kematian tidak berwasiat.

vii.Pertikaian berkaitan nama baik (goodwill)

viii.Pertikaian berkaitan rahsia perniagaan (trade secret) atau hak harta intelek yang lain.

ix.Pertikaian antara pemilik rumah dengan penyewa.

x.Pertikaian berkenaan perkhidmatan yang diberikan peguam yang menguruskan urusan jual beli rumah.

xi.Kesilapan reka bentuk (design fault) oleh perunding pemaju

xii.Pertikaian berkenaan kesahihan (validity) Perakuan Siap dan Pematuhan.

TRIBUNAL Tuntutan Pembeli Rumah di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
TRIBUNAL Tuntutan Pembeli Rumah di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Selain itu, nilai tuntutan dituntut pemilik hartanah yang terjejas juga tidak melebihi nilai RM50,000 dan jika melebihi had nilai berkenaan, pendengaran kes atau tuntutan perlulah dipersetujui kedua-dua pihak (terutama pihak pemaju)

Tempoh memfailkan tuntutan di TTPR juga ada had luput masa tertentu iaitu:

i.Tuntutan LAD dan lain-lain tuntutan yang berbangkit daripada perjanjian jual dan beli hendaklah difailkan tidak melebihi 12 bulan dari tarikh pengeluaran Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

ii.Tuntutan teknikal hendaklah difailkan tidak melebihi 12 bulan dari tarikh tamat tempoh tanggungan kecacatan (DLP) seperti yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli.

iii.Lain-lain tuntutan berkaitan perjanjian jual beli yang ditamatkan sebelum tarikh pengeluaran CCC hendaklah difailkan tidak melebihi 12 bulan dari tarikh penamatan perjanjian jual beli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 6:30 AM