Agensi

Jakarta

Rakyat Nigeria yang menanti masa untuk menjalani hukuman mati di Nusakambangan kerana kesalahan dadah, memohon pihak berkuasa Indonesia supaya tidak menutup mata apabila menjalani hukuman itu kelak.

Raheem Agbaje Salami mengemukakan permohonan itu sebelum dia dipindahkan ke Nusakambangan di Jawa Tengah dari penjara tempat dia ditahan di Madiun, Jawa TImur, dua minggu lalu.

Wasiat terakhir Raheem didedahkan kepda wartawan oleh penasihat spiritualnya Titus Tri Wibowo.

Menurut Titus, wasiat terakhir tiga muka surat itu sudahpun dikemukakan kepada pihak berkuasa kehakiman Jawa Timur, Kedutaan Nigeria di Jakarta dan peguamnya, Utomo Karim.

Titus berkata, alasan utama Raheem memohon supaya matanya tidak ditutup ketika ditembak skuad penembak di Nusakambangan kelak ialah kerana dia mahu melihat dunia untuk kali terakhir.

Raheem didapati bersalah selepas ditangkap bersama-sama 5.2 kilogram dadah di Lapangan Terbang Surabaya pada 1999.

Dia yang dihukum mati kerana kesalahan itu sebelum ini memohon pengampunan daripada pihak berkuasa Indonesia tetapi ditolak.

“Jika dibenarkan, Raheem tidak mahu matanya ditutup. Dia ingin melihat dunia kali terakhir sambil berdoa,” kata Titus.

Dalam wasiatnya itu juga, lelaki Nigeria berkenaan memohon supaya dia dikebumikan di Madiun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2015 @ 5:22 AM