Oleh Mohd Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Perkhabaran terbaru mengenai hasrat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membawa masuk tiga pemain kacukan termasuk Dion Johan Cools yang kini beraksi di liga utama Belgium disambut baik bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali .

Namun, sebelum badan induk bola sepak tempatan itu menjadikannya realiti, Khalid menasihatkan agar FAM segera mempertingkatkan segala kemudahan serta infrastruktur selain kelayakan jurulatih yang membimbing skuad utama kebangsaan supaya pemain dibawa masuk kelak tidak cabut lari.

Katanya, contoh itu sudah ada sebelum ini apabila rakyat Malaysia kelahiran Jepun, Tam Sheang Tsung pernah hadir mencuba nasib bersama skuad negara namun atas beberapa alasan tertentu menyebabkan dia tidak disenaraikan untuk bersama skuad negara.

Begitu juga dengan Titus James Palani, biarpun memiliki bakat semula jadi mengagumkan namun pemain itu juga gagal menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan sekali gus menyaksikannya disisihkan begitu saja.

“Saya pernah katakan dulu untuk mendapatkan atau mencari pemain luar negara yang mempunyai kaitan dengan kita sememangnya mudah dan kalau diikutkan ramai bakat yang ada.

“Tapi, persoalan saya adakah mereka (FAM) sudah bersedia secukupnya untuk melayan kerenah pemain itu yang kita faham sudah biasa didedahkan dengan suasana serba moden dan sistem cukup baik.

“Saya bimbang sekiranya mereka tidak belajar daripada kesilapan lalu, kemungkinan besar pemain yang akan di bawa kelak hanya boleh bertahan seminggu dua, tapi selepas itu balik semula ke tempat asal dengan memberi pelbagai alasan.

“Jadi sampai bila kita mahu menghadap benda sama, sekiranya FAM benar-benar bertekad untuk menyenaraikan tiga pemain itu, mereka kena perbaiki segala aspek terutama kejurulatihan dan kemudahan agar setanding dengan negara luar,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, FAM dilaporkan sedang memantau perkembangan tiga pemain naturalisasi yang kini berpangkalan di Eropah.

Antara pemain yang dikaitkan adalah Cools, 19, yang lahir di Kuching, Sarawak dan sudah menetap di Belgium sejak kecil lagi bersama ibu bapanya.

Cools pernah dipanggil menyertai skuad bawah 19 tahun Belgium bagi kelayakan Eropah 2015 namun mengikut peraturan FIFA dia masih layak untuk menyarung jersi Harimau Malaya selagi tidak mewakili skuad senior mana-mana negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:16 AM