Kuala Lumpur: AirAsia Berhad menggesa pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) supaya mempercepatkan kerja-kerja pemulihan di lapangan terbang berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya juga bercadang untuk berpindah semula ke Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) jika tiada penyelesaian terbaik diperoleh.

Beliau berkata, AirAsia sudah 15 tahun berada dalam industri penerbangan dan membina penerbangan pilihan orang ramai itu daripada bawah sehingga menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.

“Perkara ini perlu diselesaikan serta lembaga pengarah mesti bertanggungjawab dan saya juga sudah lama membangkitkan secara terbuka mengenai klia2.

“Namun, kebanyakan orang tidak menyokong saya dengan berkata lapangan terbang itu hebat dan Tony yang sombong,” katanya kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara AirAsia dan Destini Aviation Sdn Bhd di sini, semalam.

Tony berkata, pihaknya bukan pelabur jangka masa pendek kerana perniagaan itu membabitkan operasi dalam tempoh yang berpanjangan selain mewakili industri penerbangan negara.

Menurutnya, AirAsia pada mulanya enggan berpindah ke klia2 setelah mendakwa lapangan terbang itu mempunyai beberapa kerosakan pada landasan dan laluan pesawat.

“Kami tidak sepatutnya berpindah sebelum keadaan itu dibaiki. Penyelesaian yang terbaik adalah pindahkan kami semula ke LCCT,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad Aireen Omar berkata, pihaknya sangat menitikberatkan keselesaan dan kemudahan pelanggan.

“Kita tidak boleh terus bergantung dengan lapangan terbang yang masih dalam pemulihan dan AirAsia sendiri mempunyai 400 penerbangan sehari, oleh itu kami tidak boleh bertoleransi dengan apa sahaja yang menjejaskan keselamatan penumpang.

“Kami tidak yakin dapat berpindah semula ke LCCT, tetapi itu adalah cara terbaik kerana sekurang-sekurangnya kita tahu bagaimana LCCT beroperasi selama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Julai 2015 @ 5:29 AM