KUCING itu bagaimanapun terselamat walaupun berada di dalam kotak itu selama enam hari.
KUCING itu bagaimanapun terselamat walaupun berada di dalam kotak itu selama enam hari.
Agensi

Washington: Suami isteri dari Utah, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini, secara tidak sengaja menghantar kucing peliharaan mereka dalam bungkusan pemulangan Amazon, lapor New York Post.

Haiwan peliharaan itu bagaimanapun terselamat walaupun berada di dalam kotak, tanpa makanan atau air selama enam hari.

Penjaga kucing itu, Carrie Clark, menyedari haiwan peliharaannya itu hilang pada 10 April lalu.

Clark menghabiskan hampir seminggu untuk mencari kucing itu di dalam rumah dan kawasan perumahan dengan bantuan keluarga dan rakan.

Mereka juga memuat naik poster yang hilang di seluruh bandar.

Kucing bernama Galena itu ditemukan selamat dan berada di dalam bungkusan berkenaan pada 17 April oleh seorang kakitangan di gudang Amazon dekat California.

"Saya tidak percaya pada mulanya dan menyangka ia satu gurauan

"Galena adalah sokongan emosi yang besar kepada saya dan membantu saya mengharungi banyak cabaran kesihatan sejak enam tahun lalu.

"Kebimbangan dan tekanan kerana tidak mengetahui apa yang berlaku ke atasnya amat memeritkan," katanya selepas mengetahui kucing itu masih hidup.

Pada 17 April lalu, pemiliknya menerima panggilan daripada doktor haiwan di California memaklumkan kucing itu dibawa masuk ke klinik dan cip mikronya diimbas.

Doktor haiwan menjelaskan bahawa Brandy, seorang kakitangan Amazon, membawa kucing itu selepas menemukannya dalam bungkusan pemulangan yang mempunyai alamat kediaman Clark.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2024 @ 12:03 PM