PADANAN celana separa buku lali dengan kemeja polos sesuai untuk pelbagai urusan.
PADANAN celana separa buku lali dengan kemeja polos sesuai untuk pelbagai urusan.
PERINCIAN di bahagian pinggang memberi keselesaan dalam pergerakan.
PERINCIAN di bahagian pinggang memberi keselesaan dalam pergerakan.
PEMILIHAN fabrik dan potongan ringkas membuatkan koleksi ini tampak organik.
PEMILIHAN fabrik dan potongan ringkas membuatkan koleksi ini tampak organik.
IMEJ sederhana, tetapi selesa untuk pemakai.
IMEJ sederhana, tetapi selesa untuk pemakai.
SERLAH kegembiraan pemakai.
SERLAH kegembiraan pemakai.
Intan Mas Ayu Shahimi


Ikon pakaian Muslimah moden Uniqlo, Hana Tajima terus membuai cita rasa pengikut fesyen tanah air dengan peragaan koleksi musim bunga/panas yang cukup unik dan segar.

Diilhamkan dari gerak bebas dan bentuk tubuh, koleksi Lifewear ini menonjolkan komitmen Hana Tajima dalam memberikan gaya kontemporari yang bukan saja selesa dan bersahaja, tetapi turut menyerlahkan kegembiraan serta keanggunan pemakai sehari-hari.

Selain gaya selesa, koleksi ini juga menghidupkan kembali tema abstrak menerusi efek bayang, garis kembang dan bentuk tiga dimensi yang mudah disesuaikan dengan pelbagai aturan fesyen semasa.

Menurut pereka kelahiran United Kingdom (UK) ini, beliau sangat teruja memperkenalkan koleksi Lifewear yang dihimpunkan daripada jenis fabrik dan teknik yang cantik.

“Terdapat banyak tekstur pada permukaan fabrik koleksi ini dan ia membuatkan saya lebih seronok membentuk lengan dan garis leher cara baru untuk menghasilkan fesyen selesa. Setiap pakaian direka bagi menampakkan alunan gerak fabrik yang ringan sementara potongannya pula menyerlahkan pergerakan semula jadi pemakai.

“Elemen yang ditonjolkan juga adalah di luar kebiasaan. Ia tampak organik yang memberikan kelangsungan rasa antara pemakai dan pakaian yang dipakai,” katanya.

Jelas Hana Tajima, motif, butiran dan keseluruhan gaya pada koleksi kali ini lebih kepada memahami bagaimanakah ia diperagakan. Bagaimanapun, fabrik koleksi ini memang nampak semula jadi, mudah dijaga, ringan dan memiliki pengudaraan.

“Saya sendiri merasa amat dekat dengan koleksi ini. Saya mengetengahkan idea dan tema ini melalui proses rekaan yang saya biasanya tidak memiliki imej tetap semasa memulakannya.

“Saya membiarkan setiap rekaan pada koleksi ini berkembang dengan sendirinya. Mungkin dengan cara itu juga sebenarnya saya mencari sebahagian daripada diri sendiri.

“Apa yang penting, koleksi ini amat relevan dalam memenuhi tuntutan fesyen semasa. Ia selesa dan terpulang kepada pemakai untuk menggayakannya. Secara peribadi, ia hendaklah menjadi sesuatu yang praktikal. Saya mahu pakaian dalam koleksi ini menggambarkan erti kebebasan dalam setiap pergerakan,” katanya.

Mengikat koleksi Lifewear dengan keperluan seorang Muslim dalam berfesyen, Hana Tajima berkata, rekaannya kali ini memiliki aspek minimal yang mungkin boleh disesuaikan mengikut gaya tersendiri.

“Saya tidak mahu koleksi pakaian ini menentukan gaya seseorang individu apabila memakainya kerana setiap individu memiliki idea dan tahap kesederhanaan tersendiri. Saya fikir, ini amat penting kerana fesyen yang digayakan seseorang mampu menyerlahkan ekspresi masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2017 @ 5:15 AM