PERUMAH lampu yang bergaya.
PERUMAH lampu yang bergaya.
LOGO Proton di tengah-tengah jeriji hadapan.
LOGO Proton di tengah-tengah jeriji hadapan.
KETEPATAN membelok di selekoh.
KETEPATAN membelok di selekoh.
LANCAR untuk pemanduan jarak jauh.
LANCAR untuk pemanduan jarak jauh.

Apa kurangnya kenderaan jenama Proton? Secara peribadi, tiada apa yang kurang dengan produk nasional itu berikutan sebelum ini penulis juga pernah memiliki Proton Gen-2 yang digunakan dalam tempoh beberapa tahun.

Tiada masalah besar yang menghantui penulis, malah ia memberi khidmat terbaik dan tidak pernah meragam sepanjang memiliki­nya.

Umur antara penulis dengan jenama Proton tidak banyak pun berbeza dan setiap kali varian yang dikeluarkan, ia tampak matang serta mempunyai perubahan me­ngikut peredaran zaman.

Maka sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berbangga de­ngan produk keluaran tempatan dan bukannya menyebarkan isu-isu terpencil yang boleh merosakkan jenama berkenaan.

Begitu juga dengan kenderaan terbaru menerusi Proton Iriz. Bagi penulis, ia sudah membuktikan kehebatan Proton dalam menghasilkan sebuah kereta kompak yang memenuhi ciri global terutama sistem keselamatannya untuk pasaran tempatan.

Apa tidaknya, kenderaan buatan Malaysia itu menerima penarafan lima bintang daripada ASEAN NCAP yang dijadikan sebagai ciri standard untuk semua variannya.

Ciri keselamatan pasif dan aktif pada jentera ini adalah 'kayu pe­ngukur' untuk membezakan kenderaan yang setaraf dengannya.

Penulis boleh kongsi pengalaman memandunya dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, baru-baru ini apabila me­nyertai aktiviti khas di pekarangan Stadium Batu Kawan untuk menguji sistem pe­ngendaliannya de­ngan gabungan sistem VDC yang terang­kum di dalamnya ciri kawalan ke­stabilan (ESC), kawalan ceng­kaman (TCS), ABS + EBD dan bantuan brek.

Dalam aktiviti itu, penulis dan media lain perlu melalui hala­ngan kon seolah-olah me­ngelak kenderaan di hadapan dan memasuki laluan asal dengan kelajuan kiri-kira 60 kilometer sejam (km/j) tanpa menekan brek.

Ia mampu dikendalikan dengan baik dan berbeza berbanding kenderaan yang kategori sama, sekali gus membuktikan kemantapan jentera nasional ini.

Bagi kurang mahir memandu, sistem itu adalah penting kerana ia memberi kawalan yang mantap bagi mengelakkan kenderaan membuang sekali gus mampu me­ngurangkan kemalangan.

Begitu juga halangan laluan 'slalom', selekoh laju dan kemudiannya brek kecemasan yang mana ia boleh dikawal dengan tenang seperti pemandu mahukan.

Sebelum itu, penulis sempat menguji dua varian Proton Iriz menerusi 1.6 L Executive menggunakan transmisi CVT dan 1.3 L Standard dengan meng­gunakan kotak gear manual.

Perjalanan ke Pulau Pinang, penulis memandu varian Proton Iriz 1.3 L manual dan Iriz 1.6L Executive CVT menampakkan ia sebuah jentera yang cukup berbaloi untuk dimiliki.

Kualitinya sudah berada pada tahap terbaik termasuklah reka bentuk serta memenuhi cita rasa buat masa ini.

Kemasan ruang kabin de­ngan material yang digunakan tidak nampak terlalu murah, membuktikan Proton menawarkan kenderaan terbaik untuk masyarakat setempat. Berkongsi berhubung ke­se­lesaan, ia cukup baik dan tidak merimaskan penumpang atau pemandunya terutama posisi kerusinya serta keluasan kabin.

Sepanjang pandu uji itu, penulis cukup teruja memandu Proton Iriz 1.3 L manual kerana prestasinya sung­guh lancar dan bertenaga.

Tindak balas pedal minyaknya turut responsif seolah-olah kuasa dibekalkan memahami kemahuan pemandunya. Ketika me­luncur dalam kelajuan melebihi 150 km/j, suasana dalam kabin sa­ngat tenang bagi kategori kenderaan kompak dan masih lagi rasa stabil.

Bagi penggunaan petrolnya melalui cabaran 'eco-driving' yang dianjurkan ketika sesi pandu uji itu dengan laluan lebuh raya dari Kuala Lumpur ke Gopeng, varian ini secara purata mencatatkan sekitar 7.1L/100km dengan kelajuan purata antara 100 hingga 110 km/j.

Bagi transmisi CVT menerusi Proton Iriz 1.6L Executive, kuasa yang disalurkan sudah memadai untuk pemanduan santai.

Cuma penulis kurang gemar dengan transmisi CVT ini kerana ia menghasilkan bunyi yang 'meruap' masuk ke dalam kabin.

Bagaimanapun, ketika mahu mengerah enjin untuk meningkat­kan kelajuan dengan segera, ia tidak banyak kerenahnya serta memberi kuasa yang di­inginkan.

Apa yang penulis tertarik de­ngan model ini adalah sambungan USB di konsul tengah semata-mata untuk mengecas gajet elektronik seperti telefon pintar.

Namun, kekuatan prestasi jentera ini hanyalah sesuai untuk pemanduan biasa atau santai dan bukannya dicipta untuk berlumba.

Secara keseluruhannya, kenderaan ini perlu diberi pujian dan tidak mengecewakan kerana ia diba­ngunkan dengan ciri standard yang paling maksimum serta me­ngikut piawaian pasaran global lainnya.

SPESIFIKASI

Proton Iriz 1.3 L standard (manual)

Enjin: 1,332 cc

Kuasa maksimum: 70kW pada 5,750 rpm

Tork maksimum: 120Nm pada 4,000 rpm

Transmisi: Lima kelajuan manual

Kelajuan maksimum: 165 km/j

Kapasiti petrol: 40 liter

Proton Iriz 1.6L Executive (CVT)

Enjin: 1,597 cc

Kuasa maksimum: 80kW pada 5,750 rpm

Tork maksimum: 150Nm pada 4,000 rpm

Transmisi: CVT

Kelajuan maksimum: 170 km/j

Kapasiti petrol: 40 liter

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 5:01 AM