Carolina Utara: Dua remaja kehilangan tangan akibat serangan jerung dalam kejadian berasingan ketika mandi di Pulau Oak.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang (waktu tempatan) Ahad lalu, budak perempuan berusia 12 tahun cedera parah diserang jerung di pantai itu sebelum remaja lelaki berusia 16 tahun pula diserang ikan itu kira-kira dua jam kemudian.

Jurucakap Pusat Perubatan Wilayah New Hanover di Carolina Utara, Martha Harlan, berkata kedua-dua mangsa diterbangkan dengan helikopter dalam keadaan kritikal.

Menurutnya, tangan kiri remaja perempuan itu terpaksa dipotong dari paras siku manakala mangsa lelaki dari bahunya.

Pihak berkuasa kini menggunakan bot dan helikopter bagi mengawasi perairan tempat kejadian.

Seorang pengunjung pantai itu, Steve Bouser, berkata dia nampak serangan pertama itu dan terdengar orang ramai menjerit ‘keluar dari laut’ beberapa kali.

“Saya nampak budak itu diusung dari laut ke pantai dan orang ramai cuba membantunya. Ia mengerikan, seperti dalam filem Jaws,” katanya.

Menurut Garlan, serangan jerung di kawasan itu amat jarang.

Pihak berkuasa masih membuka pantai itu tetapi menasihatkan orang ramai tidak ke laut. - Washington Post

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 4:47 PM