FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Sydney: Jerung menyerang dan membunuh seorang budak lelaki berusia 15 tahun di lokasi meluncur terpencil di Australia Selatan, semalam.

Polis berkata, haiwan pemangsa itu menyerang pada petang 28 Disember berhampiran Pantai Ethel di Semenanjung Yorke.

"Malangnya, mayat seorang remaja lelaki ditemukan dalam air," katanya.

Polis berkata, mereka sedang menyediakan laporan untuk koroner tetapi tidak memberikan butiran mengenai serangan ke atas budak itu, yang berasal dari pinggir bandar Adelaide.

Beberapa laporan media mengenal pasti budak itu sebagai Khai Cowley.

Akhbar The Advertiser Adelaide memetik seorang penduduk tempatan Ethel Beach yang tidak dikenali berkata, seorang lagi peluncur keluar untuk membantu selepas budak itu digigit pada pada kakinya.

"Jerung itu mengelilingi mereka ketika lelaki itu menarik budak itu keluar dari air. Terdapat banyak darah," kata penduduk.

Tiada butiran mengenai jerung yang terbabit, tetapi jerung putih diketahui berkeliaran di pantai Australia Selatan.

Pada penghujung Oktober, saksi melihat seekor jerung menggigit peluncur berusia 55 tahun di rahangnya di Pantai Granites di negeri itu.

Selain itu, seorang lagi mangsa iaitu guru berusia 46 tahun diserang oleh seekor jerung pada Mei ketika dia meluncur di Pantai Walkers Rock, Australia Selatan.

Mayatnya tidak pernah ditemukan, tetapi pasukan pencari hanya menemukan sehelai pakaian selam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2023 @ 10:35 AM