JERUNG. FOTO fail AFP
JERUNG. FOTO fail AFP
Agensi

Sydney: Seorang budak lelaki terselamat walaupun selepas ditarik dari bot oleh seekor jerung di satu lokasi percutian di Tasmania, menurut pihak berkuasa Australia.

Dalam satu kenyataan, pasukan perubatan Tasmania memaklumkan mangsa yang berusia 10 tahun berada di dalam sebuah bot di pantai persisir negeri itu sebelum ditarik seekor jerung.

Fox News melaporkan, bapa kanak-kanak itu yang melihat kejadian kemudian segera terjun ke dalam air untuk menyelamatkan anak lelakinya itu.

Akibat daripada pergelutan dengan jerung berkenaan, budak lelaki terbabit mengalami kecederaan pada bahu selain terdapat kesan gigitan pada dada dan kepala.

Pasukan perubatan juga mengesahkan mangsa dalam keadaan stabil dan kini masih menerima rawatan lanjut.

Bot berkenaan yang bersaiz enam meter berada kira-kira tiga batu nautika dari Stanley ketika

kejadian berlaku.

Ini adalah kejadian serangan pertama jerung di Tasmania sejak 2012, lapor The Guardian.

Lima orang maut akibat serangan berkenaan di seluruh Australia tahun ini, lapor The Guardian.

Kejadian dilaporkan berlaku masing-masing dua di New South Wales, Queensland (dua) dan Australia Barat (satu).

Ia membabitkan nelayan, renjer hidupan liar, penyelam dan dua peluncur ombak berusia antara 15 dan 60 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 1:09 PM