PERKAHWINAN Ramona dan Rami atas dasar cinta.
PERKAHWINAN Ramona dan Rami atas dasar cinta.
RAMONA dan Rami melayari bahtera cinta.
RAMONA dan Rami melayari bahtera cinta.
PERKAHWINAN Ramona dan Rami atas dasar cinta.
PERKAHWINAN Ramona dan Rami atas dasar cinta.
Oleh Sudirman Mohd Tahir

Lebih sebulan mendirikan rumah tangga, pelakon Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam atau Ramona Zam Zam, 25, mengakui seronok melayari bahtera cinta bersama lelaki warga Palestin, Rami Alashkar, 27.

Perkahwinan yang dibina atas dasar cinta itu membolehkan Ramona dan Rami mengecapi kehidupan suami isteri yang cukup indah.

“Perkahwinan itu indah. Sehingga kini saya masih rasakan bunga-bunga cinta itu apatah lagi berkahwin dengan lelaki yang dicintai dan ikhlas dalam perhubungan.

“Keputusan berkahwin dengan suami adalah pilihan saya sendiri dan bukan atas desakan keluarga. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana kehidupan pasangan yang berkahwin kerana kehendak keluarga,” katanya.

Ramona dan suami dinikahkan bapa Ramona sendiri, Mohd Zamzam Mohd Ashraf pada 1 Mei lalu di Kayangan Heights, Shah Alam dengan sekali lafaz. Seterusnya pada 6 Jun lalu, pasangan ini mengadakan majlis sanding di Tapah, Perak.

“Ramai bertanya kenapa saya memilih lelaki asing sebagai suami. Inilah yang dikatakan jodoh.

“Dari zaman sekolah sehinggalah sebelum mengenali suami, kebanyakan kawan saya orang asing,” katanya.

Rami ada ciri lelaki idaman malah boleh menjaga dan menerima dirinya seadanya.

“Bukan tidak ada lelaki Melayu yang ajak berkahwin, tetapi mereka meletakkan banyak syarat. Pendek kata, selepas berkahwin saya kena tinggalkan kerjaya seni dan menjadi suri rumah sepenuh masa.

“Semua itu bagus, tapi biarlah perubahan datang daripada diri sendiri bukan paksaan. Alhamdulillah, saya dipertemukan dengan insan yang baik dan memahami,” katanya.

Tidak pandang harta

Ramona tidak malu mendedahkan suaminya hanya orang biasa dan bukan datang dari keluarga berada.

“Sebelum bekerja, suami baru selesai sesi pengajian di peringkat sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan, Paris Graduate School of Management tahun lalu. Saya hormat dia sebab dapat melanjutkan pengajian biar pun hidup sederhana.

“Saya tidak memandang duitnya sebaliknya ilmu yang dia miliki. Pada saya duit boleh dicari,” katanya.

Sejak berkawan, Ramona belum pernah berjumpa keluarga suaminya. Hanya Skype menjadi perantara mereka.

Disebabkan itu, satu lagi majlis resepsi akan diadakan September depan bagi meraikan keluarga Rami yang merancang datang ke Malaysia.

Memandangkan dia kini sibuk menjalani penggambaran drama Plan Cinta Tak Jadi, Ramona dan suami belum sempat berbulan madu.

“Soal anak, biarlah kami menikmati hidup berdua dulu. Kami mahu kumpul duit sebelum bersedia menimang zuriat,” katanya.

Cerita Ramona lagi, kehadiran Rami dalam hidupnya mendapat restu keluarga.

“Ibu bapa saya menyokong hubungan kami malah mereka tidak ada masalah untuk menerima Rami sebagai menantu. Kali pertama saya bawa suami berjumpa keluarga, mereka OK,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 11:24 AM