Syanty Octavia Amry


Pelakon Ramona Zamzam tidak menyangka dia turut mengikut jejak langkah ibunya apabila bertemu jodoh dengan lelaki asing. Dia juga bersyukur perkahwinan campur tidak menjadi masalah dalam keluarganya.

Ibunya, Rusmawati Mohd Yusof berdarah Melayu-Thailand manakala bapanya pula (Mohd Zamzam Mohd Ashraf), keturunan Pakistan-Jerman. Sebagai orang tua, mereka tiada halangan untuk anak-anak memilih pasangan hidup daripada apa jua bangsa. Apa yang penting keserasian dan persefahaman untuk hidup bersama.

Melangsungkan pernikahan dalam suasana sederhana yang hanya dihadiri ahli keluarga terdekat dan sahabat handai, Ramona atau nama sebenarnya Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam sah menjadi isteri kepada Rami Alashkar, jejaka berasal dari Palestin.

Ramona dinikahkan sendiri bapanya, Mohd Zamzam Mohd Ashraff. Pada hari itu dia menerima mas kahwin RM300 dan lima dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada Ramona.

Antara barangan hantaran adalah kek, set wangian, telekung, al-Quran dan rantai serta cincin manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 7:06 AM