RICHARD (kanan) ketika mempengerusikan Mesyuarat NKEA, semalam.
RICHARD (kanan) ketika mempengerusikan Mesyuarat NKEA, semalam.

Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia mengumumkan dua projek baru di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang diunjurkan menyumbang kepada pendapatan negara kasar (PNK) berjumlah RM1.213 bilion, sekali gus mencipta 3,818 peluang tenaga kerja pakar menjelang 2020.

Projek pertama dilaksanakan oleh Mara Aerospace & Technologies Sdn Bhd bagi membangunkan hab pengeluaran peralatan asal (OEM) aeroangkasa di Asia Tenggara di Bandar Aeroangkasa Asia (AAC) membabitkan pelaburan RM1.16 bilion bermula tahun ini hingga 2020.

Menterinya, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem berkata, projek kedua ialah membangunkan hab global penyumberan luar teknologi maklumat automotif Goldbury yang dibangunkan oleh Goldbury Communication Sdn Bhd (Goldbury) membabitkan pelaburan RM5.5 bilion sehingga 2020 bermula Mei tahun ini.

Beliau berkata, mengikut pecahan projek AAC dan Goldbury dijangka menyumbang kepada PNK masing-masing RM1.1 bilion dan RM113 juta yang mana kedua-dua syarikat itu adalah milik rakyat Malaysia sepenuhnya.

“Projek hab global penyumberan luar teknologi maklumat automotif Goldbury bernaung di bawah projek penggerak ekonomi 2 (EPP2) bagi mewujudkan sektor penyumberan luar global kompetitif manakala AAC ialah projek transformasi baru di bawah projek pengerak ekonomi 7 (EPP7) bagi menjadikan Malaysia Hab OEM aeroangkasa.

“Pelaksanaan kedua-dua projek baru ini menjadikan EPP berada di landasan betul untuk mencatatkan sejumlah RM78.7 bilion kepada PNK dan mencipta 245,000 peluang pekerjaan menjelang 2020,” katanya selepas mengadakan mesyuarat dengan kedua-dua syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.

Projek Goldbury terletak di Medini Iskandar, Nusajaya yang menjadi akademi latihan utama bagi modul sistem, aplikasi dan produk (SAP) perkhidmatan dan sumber automotif di rantau ini yang mendapat permintaan tinggi global.

Projek AAC pula akan menjadi tumpuan dan menyediakan peluang bagi golongan yang terbabit dalam industri aeroangkasa antaranya mewujudkan perkongsian tenaga pakar tempatan dan asing serta menarik pemain industri asing menyertai pelaburan di bandar berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:11 AM