MOHAMED Zuhri yakin Goldbury berkembang dan buka cawangan di Dubai dan Zurich.
MOHAMED Zuhri yakin Goldbury berkembang dan buka cawangan di Dubai dan Zurich.

Kuala Lumpur: Goldbury Communication Sdn Bhd (Goldbury), syarikat penyedia rumusan untuk perkhidmatan, aplikasi dan pengeluaran (SAP) teknologi maklumat automotif bakal membangunkan pusat SAP automotif pertama di dunia membabitkan pelaburan RM5.5 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2015.

Goldbury adalah syarikat tempatan menumpukan perkhidmatan khusus kepada SAP industri automotif dan kini ia adalah syarikat pertama di Malaysia yang menjalankan operasi berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Zuhri Mohamed Yusof berkata, pusat SAP automotif itu akan beroperasi di Bandar Medini, Iskandar Malaysia dan mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada 450 perunding pakar dalam bidang itu serta secara purata menjana pendapatan RM9,500 sebulan bagi seorang perunding pakar.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan pasaran global memandangkan permintaan kepada kemampuan syarikat asing menampung kos perkhidmatan yang ditawarkannya.

“Kami baru menjalankan operasi dalam tempoh setahun dan mempunyai 11 pelanggan di kalangan syarikat tempatan dan asing yang dijangka mampu menjana RM17 juta perolehan pada tahun ini dan menyasarkan meningkat kepada RM58 juta pada tahun depan.

“Dalam tempoh setahun ini juga kami sudah mempunyai lima pusat operasi iaitu ibu pejabat di Malaysia serta empat cawangan di Singapura, Arab Saudi, United Kingdom dan Australia. Tahun depan, kami akan membuka dua cawangan di Dubai dan Zurich,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Projek Goldbury di Medini juga adalah salah satu daripada dua projek baru dikenalpasti oleh kerajaan sebagai projek penggerak ekonomi 2 (EPP2) bagi mewujudkan sektor penyumberan luar global kompetitif dan dijangka mampu menyumbang RM113 juta kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK) menjelang 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:14 AM