Kuala Lumpur: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menguruskan Dana Strategik Pelaburan Domestik (DISF) sejumlah RM1 bilion sudah meluluskan 135 projek dengan dana berjumlah RM577.6 juta setakat November tahun ini.

DISF yang diumumkan oleh kerajaan pada 2012 bertujuan meningkatkan penyertaan syarikat milik rakyat Malaysia dalam rantaian bekalan global bagi industri yang disasarkan.

Pengerusinya Tan Sri Amirsham A Aziz berkata, daripada jumlah itu sebanyak 32 projek berjumlah RM124.5 juta atau 22 peratus daripadanya adalah projek bagi syarikat Bumiputera.

Beliau berkata, syarikat Bumiputera seharusnya mengambil kesempatan bagi memperbaiki atau meningkatkan keupayaan teknologi mereka dan memperoleh piawaian antarabangsa dalam industri strategik bagi mendapatkan peluang penyumberan luar daripada syarikat global.

“Syarikat tersebut terbabit dalam pelbagai industri seperti aeroangkasa, automotif, elektronik dan elektrik, solar serta minyak dan gas.

“Selain DISF insentif menarik lain juga disediakan kerajaan bagi menggalakkan perkembangan perniagaan usahawan tempatan antaranya insentif cukai bagi mengambil alih syarikat asing berteknologi tinggi untuk membolehkan syarikat rakyat tempatan menggunakan teknologi terkini yang berdaya saing di peringkat serantau atau global,” katanya pada Konvensyen Aspirasi Usahawan Muslim 2014 bertemakan Jutawan Muslim, Fikrah Mukmin: Dari Lokal ke Global, di sini,semalam.

Katanya, usahawan perlu meningkatkan kemahiran dalam pengurusan perniagaan dan pelaburan dengan melengkapkan diri dengan pengetahuan keusahawanan serta menjalin kerjasama dengan perusahaan lain.

“Bagi memperkasakan jati diri, usahawan perlu meningkatakan kemahiran dalam pengurusan perniagaan dan pelaburan. Ini termasuk melengkapkan diri dengan pengetahuan keusahawanan serta menjalin kerjasama dengan perusahaan lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 9:06 AM