Kuala Lumpur: Malaysia bersedia menjadi hab perkhidmatan aeroangkasa di Asia Tenggara menerusi pembangunan Bandar Aeroangkasa Asia (AAC) selepas 2018.

AAC terletak di Subang dibangunkan oleh Pelaburan MARA Bhd (Pelaburan MARA) menjangkakan projek dengan kerjasama pemain industri itu mula menyiapkan fasa pertama pada tahun berkenaan dengan kos pembangunan RM1.8 bilion.

Ketua Kumpulan Projek AAC, Rozilah Abdul Ghani berkata, AAC mempunyai tiga fasa pembangunan dengan kos pembangunan keseluruhan RM2.3 bilion. Fasa kedua dan ketiga dibangunkan mengikut permintaan industri selepas fasa pertama disiapkan.

Beliau berkata, AAC ketika ini sedang mempromosikan kemudahannya kepada pemain industri aeroangkasa antarabangsa dan terdapat lima syarikat asing berminat untuk beroperasi di lokasi berkenaan.

"AAC adalah sebuah lokasi penempatan bagi pemain industri aeroangkasa antarabangsa beroperasi serta pelbagai industri lain seperti pendidikan serta pembinaan yang dijangka dapat merancakkan industri berkenaan di negara ini.

"Kewujudannya kelak akan memberi manfaat kepada tenaga kerja aeroangkasa di Malaysia untuk berkongsi kepakaran dengan syarikat aeroangkasa asing memandangkan jurutera pakar tempatan dalam bidang itu masih rendah," katanya pada taklimat media selepas menghadiri Simposium Arkitek, Kejuruteraan dan Pembinaan (AEC) 2014 di sini, semalam.

Simposium itu menjadi platform kepada pelbagai pemain industri berkongsi maklumat dalam teknologi masing-masing yang mempunyai kaitan antara satu sama lain, sekali gus membantu penjanaan idea untuk membangunkan AAC.

Katanya, AAC menjadi lokasi penting bagi melahirkan tenaga mahir memandangkan dengan kerjasama pemain industri, pihaknya menghantar purata 20 jurutera aeroangkasa tempatan setahun untuk mempelajari lebih mendalam bidang itu di negara asing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:15 AM