PROTON Gen-2 ini kerap menerima tumpuan.
PROTON Gen-2 ini kerap menerima tumpuan.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Minat mendalam terhadap kenderaan kategori Supercar V8 membuatkan pemilik Proton Gen-2 dalam ruangan Modifikasi minggu ini, merealisasikan impiannya dengan menghiasi kereta berkenaan bertemakan pasukan perlumbaan Holden.

Konsep dipilih bukan sahaja tertarik pada namanya, juga potensi pasukan berkenaan yang cemerlang dalam perlumbaan Kereta Super V8.

‘Bermodalkan’ kereta tempatan keluaran 2006 itu, sistem rangkaian kuasa dipertingkat dengan menukar kotak gear asal kepada Mitsubishi MIVEC CK yang memberikan kuasa pecutan diperlukan.

Malah, beberapa komponen aksesori tambahan diguna bagi menerbitkan impak keceriaan dan kekemasan ruangan enjin untuk pertandingan autoshow.

Bukan sahaja enjin, ruangan dalamannya turut menerima sentuhan dengan reka bentuk tersendiri supaya menambat hati juri ketika menilainya dalam pertandingan berkenaan.

Bermula daripada papan pemuka hingga empat pintu utamanya menggunakan material kaca gentian yang ditempah khas selain menerima gabungan warna merah serta putih.

Ruangan kokpit yang kemas ditambah dengan dua kerusi khas membangkitkan keunikannya. Malah, skrin LCD jenama Hisense menghiasi tempat duduk belakang kenderaan itu.

Berkonsepkan kenderaan perlumbaan dengan hanya dua kerusi, ruang belakang direka semula dengan dipenuhi sistem audio berjenama. Padanan pemain audio jenama Alpine double din menghubungkan kepada ampifier berjenama DLS, Mohawk dan Mohawk Active Sub Woofer.

Ia dihubungkan kepada dua Mid Bass DLS enam inci, dua Mid Range DLS empat inci dan subwoofer Mohawk 12 inci bagi menyalurkan bunyi yang terbaik dalam ruang kabin.

Sistem audio bagi but belakang diasingkan dengan memilih pemain cakera Alpine single din dan menghubungkannya dengan tiga amplifier Mohawk 500 watt dan dua Monoblok Mohawk 1,500 watt. Kuasa itu ditalakan kepada empat buah Mid Bass 6 inci Mohawk Siri Platinum dan empat Mohawk Siri Crystal.

Bagi menghamburkan bunyi yang memukau, dua Subwoofer 12 inci jenama Ex Spider berkekuatan 1,000 watt turut dipasang pada bahagian but bersama dua monitor bersaiz tujuh inci. Tidak hairanlah kenderaan itu kerap menambat hati juri dan memenangi lebih 30 kali pertandingan audio.

Sementara itu, bahagian luaran tidak banyak ubah suai yang dilakukan kecuali menukarkan rim dimensi 17 inci Volk Racing dengan padanan tayar Bridgestone Potenza RE002.

Pemiliknya, Fahrul Zulhairee Saharudin 31, sungguh berpuas hati dengan hasil kerja berkenaan walaupun terpaksa membelanjakan lebih RM40,000 bagi memartabatkan kenderaannya dalam bidang modifikasi tempatan.

INFO

KOS: RM40,000

UBAH SUAI:

- Papan pemuka tempahan khas.

- Pintu asal diubah suai semula.

- Tempat duduk khas

- Pelekat badan PasukanPerlumbaan Holden

- Rim Volk Racing 17 inci.

AUDIO DALAMAN

- Pemain cakera Alpine Double Din

- Amplifier empat saluran DLS 500 watt

- Mohawk Crystal 400 watt

- Mohawk Active Sub Woofer 500 watt

- Dua Mid Bas DLS

- Mid Range DLS

- Subwoofer Mohawk 12”

AUDIO BUT BELAKANG

- Pemain cakera Alpine single din

- Mid Bass Mohawk Platinium Series, Mohawk Crystal Series dan Ex Spider.

- Subwoofer Ex Spider 1,000 watt

- Amplifier Mohawk empat saluran 400 watt - tiga unit

- Monoblok Mohawk 1,500 watt-dua unit

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mei 2015 @ 5:01 AM