Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Watak permainan video Street Fighter, Chun Li menjadi karakter yang sangat digemari pemilik kereta Proton Wira dalam ruangan ini, malah sanggup membelanjakan sehingga RM50,000 untuk menjadikan ‘wanita cantik’ itu sebagai konsep untuk mengubah suai keretanya.

Watak dibawa itu seolah-olah memberi tuah kepada pemiliknya, Mohammad Khairuddin, 38, kerana memenangi 160 piala, hampir 90 daripadanya menjuarai pertandingan kereta modifikasi kategori terbuka dan ubahsuai Proton.

Penampilan tampak kemas dan menarik bagi Proton Wira 1.5 liter keluaran 1994 ini selepas bahagian engin asal diganti dengan Mitsubishi V6 6A10 yang berkapasiti 2,000 cc.

Tidak cukup dengan enjin kemas dan bergaya, pemilik mengubah bentuk bahagian dalaman, termasuk papan permukaan dan tempat duduk bahagian depan serta belakang sebelum digantikan gentian kaca yang dibuat khas.

Kerusi bahagian depan dan belakang yang menerima sentuhan tersendiri pemiliknya sememangnya ‘sexy’ apabila bentuknya sangat menarik serta padanan warna putih dan merah jambu bagi menampakkan ciri-ciri kewanitaan watak Chun Li.

Imej Chun Li juga dipasang pada panel pintu, sekali gus menyerlahkan lagi suasana dalamannya sejurus membuka keempat-empat pintunya.

Pemilik yang juga meminati sistem audio turut memberi penampilan istimewa pada kenderaannya apabila sebanyak 27 skrin pelbagai saiz berada dalam kenderaan itu.

Lebih menarik apabila empat skrin bersaiz tujuh inci dipasang pada bahagian bampar belakang, manakala dua skrin saiz sama dipadankan di depan kereta.

Namun menariknya pada jentera ini adalah pada bahagian depannya, yang mana dua skrin bersaiz 3.5 inci berada dalam perumah lampu utamanya.

Bahagian dalaman diserikan dengan skrin utama pada papan pemuka serta bahagian pintu dipadankan tiga skrin bersaiz 3.5 inci.

Tidak cukup dengan itu, empat LCD berukuran sembilan inci dipasang pada bahagian bumbung dalaman kenderaan dan sebuah televisyen LCD jenama LG diletak di bahagian but belakang.

Semua skrin dalam kereta berkenaan disambung melalui pemain audio Pioneer serta kuasa bunyinya ditingkatkan dengan menggunakan powep amplifier empat saluran serta sebuah monoblok Mohawk yang masing-masing berkapasiti 1,000 watt.

Dari sudut luaran pula, pemilik memberi penampilan unik selepas menggunakan rim 18 jenama Black Mafia yang diimport dari Jepun serta tampak sporty padanan bampar depan dan belakang dari Mitsubishi Evolution IX.

INFO

MODEL: Proton Wira keluaran 1994

ENJIN: Mitsubishi V6 6A10 2,000 cc

KOS: RM50,000

MODIFIKASI LUARAN:

- Papan pemuka ditempah khas

- Empat kerusi ditempah khas menggunakan gentian kaca

- Bampar depan dan belakang Mitsubishi Evolution IX

- Spoiler GT

SISTEM AUDIO:

- Pemain audio Pioneer

- 27 Skrin pelbagai saiz

- Power Amp Mohawk 1,000 watt

- Monoblok Mohawk 1,000 watt

- Dua Sub woofer Pigasus 500 watt

RIM: Saiz 18 inci Black Mafia

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:00 AM